suria

Tindakan Kerajaan Kedah Jadikan Flat Kos Rendah Asrama Pelajar Kuin Tidak Adil

ALOR SETAR: Tindakan kerajaan Kedah menjadikan rumah pangsa kos rendah sebagai asrama penginapan pelajar Kolej Universiti Insaniah (Kuin) adalah tidak adil bagi rakyat negeri ini yang sangat memerlukan kediaman sendiri.

Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Derga, Dr Cheah Soon Hai mendakwa flat kos rendah yang dijadikan asrama itu di Mergong dekat sini, dibina semasa Barisan Nasional (BN) mentadbir Kedah.

"Ia tidak adil kepada rakyat Kedah kerana semasa kita bina dulu, tujuannya untuk rakyat berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri. Terdapat kira-kira 136 unit rumah di flat tersebut.

"Permintaan rumah kos rendah di Kedah sangat tinggi. Kerajaan negeri umum tiga projek perumahan kos rendah iaitu satu di Kubang Pasu dan dua di Pokok Sena tetapi semuanya belum dilaksanakan," katanya kepada pemberita di sini Isnin.

Beliau berkata struktur bangunan flat yang dibina serta kemudahan yang disediakan di kawasan itu juga tidak sesuai kepada pelajar kerana ia dibina bagi mereka yang sudah berkeluarga.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perumahan, Kerja Raya, Pertanian dan Industri Asas Tani dan Bioteknologi negeri, Datuk Ir Amiruddin Hamzah mengakui terdapat pelajar Kuin yang tinggal di flat berkenaan berikutan kekurangan penginapan kerana kampus baru Kuin di Kuala Ketil belum siap.

"Kita terpaksa tempatkan mereka buat sementara di flat ini. Paling lewat pun dalam sembilan bulan lagi baru kita boleh tempatkan mereka di kampus Kuin di Kuala Ketil.

"Selepas itu, barulah unit-unit rumah di flat tersebut akan ditawarkan kepada rakyat yang layak," katanya mengulas dakwaan Cheah itu. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain