suria

Tiga Lelaki Larikan RM93,000 Daripada Pekerja Stesen Minyak

IPOH: Tiga lelaki bersenjata mengambil masa dua minit melarikan wang tunai berjumlah RM93,000 daripada tiga pekerja sebuah stesen minyak di Manjung, Isnin.

Pemangku Ketua Polis Daerah Manjung DSP Ahmad Mat Isa berkata dalam kejadian pukul 10.40 pagi itu, tiga pekerja stesen minyak itu menaiki sebuah kereta dan dalam perjalanan ke sebuah bank untuk menyimpan wang hasil kutipan stesen minyak berkenaan.

"Ketika berhenti di simpang empat lampu isyarat di bandar Manjung, sebuah kereta yang mengekori mereka berhenti dan tiga lelaki masing-masing bersenjata kapak, parang dan batang besi memecahkan cermin hadapan kereta yang dinaiki mangsa," katanya ketika dihubungi Isnin.

Ahmad berkata, seorang daripada suspek merampas dan melarikan beg berisi wang tunai yang dipegang salah seorang mangsa yang duduk di bahagian hadapan penumpang kereta itu.

"Ketiga-tiga suspek kemudian melarikan diri dengan sebuah kereta jenis Volkswagen yang dipandu seorang lagi rakan mereka," katanya.

Beliau berkata, ketiga-tiga mangsa, dua daripadanya wanita masing-masing berusia dalam lingkungan 40-an hanya cedera ringan akibat terkena serpihan cermin kereta dan telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Polis sedang memburu kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 30-an itu, katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain