suria

PM Bidas Ketua Wanita PKR

KUALA LUMPUR: Gara-gara terlalu lantang mengkritik, Zuraida Kamaruddin (PKR-Ampang) ditempelak Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak kerana membangkitkan beberapa isu tidak berkaitan pada persidangan Dewan Rakyat, Isnin.

Sambil menyifatkan tindakan Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu tidak mencerminkan ketertiban seorang wanita, Perdana Menteri memaklumkan jawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang dipegangnya kini hanya sementara hingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

"Yang berhormat berkenaan tidak mencerminkan kesopanan sebagai seorang wanita...mulut dia boleh tahan.

"Wanita kita (Barisan Nasional) jauh lebih baik daripada wanita sebelah sana (pembangkang).

"Tak usah gusar, saya pegang sementara sahaja sampai pilihan raya. Bila BN menang nanti insya-Allah kita beri wanita ambil alih kementerian," katanya pada sesi soal jawab lisan Dewan Rakyat.

Kehadiran Perdana Menteri mencuri tumpuan apabila beliau pertama kali hadir menjawab soalan lisan Dewan Rakyat selepas mengambil alih jawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat daripada Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pada 8 April lalu.

Terdahulu Zuraida ketika mengemukakan soalan tambahan, Zuraida secara lantang mempersoalkan tindakan Najib mengambil alih jawatan itu kerana mendakwa ia seharusnya diberikan kepada wanita sebagai bukti pelaksanaan dasar 30 peratus wanita sebagai pembuat keputusan.

Malah Zuraida turut mencabar Najib membubarkan Parlimen bagi membolehkan PRU-13 diadakan.

Bagaimanapun Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menegur tindakan Zuraida yang seolah-olah membangkitkan isu-isu yang tidak releven dengan soalan asal yang dikemukakan.

"Saya dengar Perdana Menteri menjawab dengan peradaban yang amat baik," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain