suria

Peruntukan Tambahan Bukan Biayai Kontrak Baru Gula, Tepung

KUALA LUMPUR: Peruntukan tambahan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di bawah Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2012, merupakan baki daripada peruntukan asal bagi menampung subsidi gula dan tepung, yang telahpun dipohon dalam Belanjawan 2012.

Timbalan Menterinya Datuk Rohani Abd Karim berkata peruntukan itu bukanlah bagi membayar kontrak baru bahan komoditi tersebut sepertimana andaian pihak tertentu terutama pembangkang.

"Memang dari mula peruntukan yang diperlukan bagi gula untuk tahun ini kita sudah 'pack' pada RM567 juta tetapi pada kelulusan peruntukan di bawah Bajet 2012, kita hanya diagihkan RM200 juta.

"Kekurangan di bawah bajet ini adalah RM367 juta, yang kita pohon hari ini. Kita memang ada buat unjuran," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang tersebut pada peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat, Isnin.

Azan Ismail (PKR-Indera Mahkota) semasa mencelah perbahasan itu bertanyakan sama ada peruntukan tambahan yang diminta adalah bagi membiayai kontrak baru kerana mendakwa peruntukan itu tidak dimasukkan semasa perbentangan Belanjawan 2012 yang diluluskan tahun lepas.

"Ini seolah-olah kontrak baru dibuat. Kalau pun sungguh baru dibuat sepatutnya kementerian sudah mengambil kira keperluan masa depan sekurang-kurangnya untuk setahun," katanya.

Rohani berkata kementerian juga memerlukan sebanyak RM37.092 juta lagi bagi menampung subsidi tepung untuk diberikan kepada 11 syarikat pengeluar tepung negara yang hanya diluluskan sebanyak RM113 juta tahun lepas.

Beliau turut membayangkan satu lagi siri program rasionalisasi subsidi gula dapat dijalankan berdasarkan respons baik yang diterima daripada syarikat pengeluar gula semasa program pelarasan subsidi komoditi itu dijalankan pada Julai 2010.

"Kementerian memang mengutamakan gula dalam banyak produk yang subsidinya dikawal dan memang ada desakan dari pelbagai pertubuhan, pihak yang mementingkan kesihatan.

"Kita mungkin adakan satu lagi siri rasionalisasi gula sebab sambutan positif. Kita tak buat secara drastik...sedikit demi sedikit tapi dapat jalankan dengan baik," katanya.

Selain itu, beliau berkata pemain industri yang perlu menggunakan gula dalam jumlah yang banyak seperti pengeluar susu pekat manis diberikan permit import (AP) untuk memudahkan mereka mengimport gula bagi kegunaan syarikat.

Persidangan Dewan bersambung Selasa. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain