suria

PDRM Masih Beri Peluang Perusuh Bersih 3.0 Untuk Serah Diri

KUALA TERENGGANU: Pihak polis masih memberi peluang kepada individu yang dipercayai terlibat dalam rusuhan semasa perhimpunan haram Bersih 3.0 di ibu negara pada 28 April lepas untuk tampil menyerah diri.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata polis telah mengenal pasti individu yang terlibat dalam kejadian rusuhan itu dengan gambar mereka telah disiarkan media.

"Polis tidak akan berdiam diri, sebaliknya kami giat mengesan mereka...polis sedia bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk memberkas individu yang terlibat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Inovasi dan menutup Majlis Peringatan Hari Polis di Pulau Duyong, di sini, Isnin.

Pada 9 Mei lalu, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dilapor memberi tempoh tujuh hari kepada 113 individu yang gambar mereka disiarkan di media untuk menyerah diri, bagi membantu siasatan berhubung kejadian rusuhan pada perhimpunan anjuran badan bukan kerajaan yang disokong pembangkang itu.

Mengenai isu Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa memiliki wang, saham dan aset bernilai RM3 bilion, Khalid berkata kes itu akan disiasat sekiranya didapati wujud unsur jenayah. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain