suria

November Bulan Keluarga Kebangsaan - PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengisytiharkan November sebagai 'Bulan Keluarga Kebangsaan 1Malaysia' sebagai pengukuhan kepada perspektif keluarga dalam aspek pembangunan sosio-ekonomi negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata pengisytiharkan itu selaras dengan Dasar Keluarga Kebangsaan menerusi Gerakan 1Malaysia Family First di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan bagi mengukuhkan institusi kekeluargaan.

"Mulai 2012, bulan November akan diisytiharkan sebagai Bulan Keluarga Kebangsaan 1Malaysia.

"Bagi syarikat swasta yang menganjurkan Hari Keluarga untuk pekerja-pekerja mereka, rebat atau potongan 100 peratus dibenarkan bagi semua perbelanjaan keraiann," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Isnin.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Zuraida Kamaruddin (PKR-Ampang) yang ingin mengetahui perancangan baru jangka pendek dan jangka panjang Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat selepas kementerian itu diterajui Perdana Menteri bermula 8 April lalu.

Dalam pada itu Najib berkata, susulan daripada keputusan kerajaan melaksanakan dasar sekurang-kurangnya 30 peratus wanita di peringkat pembuat keputusan dalam sektor korporat, kerajaan sedang memastikan kumpulan wanita yang kompeten dapat diketengahkan sebagai Ahli Lembaga Pengarah di syarikat awam tersenarai (PLC).

"Kementerian melaksanakan inisiatif Program Pengarah Wanita (WDC) bagi meningkatkan pengetahuan serta kemahiran kritikal wanita dalammelaksanakan peranan sebagai Ahli Lembaga Pengarah menerusi kaedah latihan berstruktur.

"Adalah disasarkan seramai 200 orang pengarah wanita akan dilatih menjelang Disember 2012. Setakat ini seramai 20 orang pengarah wanita berkaliber dilatih pada Februari dan siri selanjutnya akan diadakan pada Julai ini," katanya.

Sementara itu Najib berkata menerusi inisiatif kementerian juga, jumlah wanita diperingkat Jurusan Utama Sektor Awam (Jusa) meningkat daripada 18.8 peratus pada 2004 kepada 31.7 peratus pada 2011.

Manakala jumlah wanita sebagai hakim mahkamah sivil turut meningkat daripada 23.3 peratus pada 2008 kepada 34.4 peratus pada 2011.

"Sementara itu bagi jawatan Ketua Pengarah peringkat Persekutuan, jumlah yang disandang wanita juga meningkat daripad 11.8 peratus pada 2007 kepada 20.7 peratus pada 2011," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain