suria

Mahkamah Rayuan Kekalkan Keputusan Bekas Pelajar Lumpuh Dapat Pampasan

PUTRAJAYA: Keluarga kepada gadis lumpuh, Siti Zanatul Nabilah Rosly, lega selepas Mahkamah Rayuan pada Isnin mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati tiga guru dan pengetua Sekolah Menengah Teknik Gombak (SMTG) dan Kementerian Pendidikan cuai dalam memastikan keselamatan pelajar sewaktu menyertai rombongan sekolah ke Tasik Chini, Pahang lapan tahun lalu.

Panel hakim yang diketuai Datuk Abdul Wahab Patail, dalam keputusan sebulat suara berkata tiada sebab untuk Mahkamah Rayuan mencelah keputusan hakim bicara (Mahkamah Tinggi) dan hakim berkenaan tidak terkilaf ketika membuat keputusannya.

Abdul Wahab mengetepikan rayuan kesemua perayu dan mengarahkan mereka membayar RM20,000 kepada responden sebagai kos.

Dua panel hakim yang lain adalah Datuk Clement Allan Skinner dan Mah Weng Kwai.

Pada 30 Jun tahun lepas, hakim Mahkamah Tinggi mengarahkan pampasan RM350,000 dibayar kepada Siti Zanatul, 25, akibat penderitaan dan kesakitan yang dialami mangsa serta penjagaan rawatan RM84,000 pada kadar faedah lapan peratus dari tarikh keputusan sehingga tarikh pembayaran sepenuhnya pampasan.

Peguam Kanan Persekutuan Azizan Md Arshad dan Shaiful Nizam mewakili perayu manakala Siti Zanatul diwakili peguam Suhaila Mohd Daud.

Dalam saman yang difailkan pada November 2006, bapa Siti Zanatul, Rosly Yusof, 60, sebagai plaintif pertama dan Siti Zanatul, plaintif kedua menamakan tiga guru SMTG, pengetua SMTG, SMTG dan Kementerian Pelajaran sebagai defendan pertama hingga keenam.

Siti Zanatul lumpuh setelah terlibat dalam kejadian hampir lemas bersama empat rakannya yang lain ketika singgah di Air Terjun Sungai Pandan, Kuantan pada 2 petang, 12 Januari 2004 iaitu dalam perjalanan pulang selepas lawatan ke Tasik Chini.

Akibat kejadian itu, mangsa yang ketika itu berusia 17 tahun lumpuh kerana mengalami kecederaan otak ekoran kekurangan bekalan oksigen ketika kejadian itu.

Menurut pernyataan tuntutan, Rosly mendakwa, anaknya bersama rakan-rakan sekelasnya telah menyertai rombongan sekolah bagi program amali Kejuruteraan Awam anjuran defendan pertama hingga kelima ke Tasik Chini pada 9 Januari 2004.

Rosly mendakwa defendan antara lain cuai untuk memantau dan menjaga keselamatan anaknya, mempertimbangkan tahap bahaya dan risiko berenang di air terjun itu serta gagal mengambil langkah segera membantu anaknya dalam kejadian itu.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Rosly, seorang pesara tentera yang kini bekerja sebagai pengawal keselamatan berkata anaknya merupakan seorang pelajar cemerlang yang mendapat 8A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), peramah dan mempunyai budi pekerti yang baik.

"Sejak lapan tahun lalu dia tidak lagi bermaya untuk melakukan apa-apa, akibat lumpuh selepas mengalami kecederaan otak selepas hampir lemas dalam kejadian di air terjun itu," kata Rosly.

Katanya, kejadian yang menimpa anaknya itu boleh dielakkan sekiranya pihak sekolah dan guru mengambil langkah keselamatan sewajarnya terutamanya ketika membawa pelajar masing-masing untuk lawatan ataupun aktiviti lain di luar kawasan sekolah.

Beliau risau memikirkan masa depan Siti Zanatul kerana anaknya itu tidak menunjukkan sebarang tanda untuk sembuh dan berdikari seperti remaja yang sebaya dengannya.

"Kami hanya boleh menjaganya sehingga kesihatan kami berdua mengizinkan dan tidak tahu apa akan berlaku apabila kami tiada kelak, lagipun adik-beradik Siti Zanatul iaitu seorang kakak dan dua abangnya mempunyai keluarga masing-masing," katanya.

Ibu Siti Zanatul, Siti Zuriah Omar, 54, berkata beliau berdoa agar anaknya yang kini mendapat rawatan susulan di Hospital Kuala Lumpur akan sembuh sepenuhnya suatu hari nanti.

"Sebelum ini kakak bekerja sebagai tukang masak dan sekarang berhenti untuk menjaga Siti, harap ada pihak tampil untuk memberikan rawatan dalam memulihkan anak saya," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain