Lelaki Dibelasah Penduduk, Sedang Curi Buah Sawit - Semasa | mStar

Lelaki Dibelasah Penduduk, Sedang Curi Buah Sawit

BESUT: Seorang lelaki cedera teruk dibelasah penduduk kampung setelah ditangkap ketika sedang mencuri buah sawit di sebuah ladang di Kampung Gong Berangan dekat Kerandang, Jabi, malam Sabtu.

Dalam kejadian 8.30 malam itu, suspek berusia 29 tahun cedera dan lebam di beberapa bahagian badannya akibat dipukul ketika sedang mengisi buah sawit curi ke dalam bonet sebuah kereta Proton Saga.

Suspek dikatakan dari kampung berdekatan sedang memunggah buah berkenaan bersama dua orang rakan ketika terserampak dengan beberapa penduduk kampung yang sedang melakukan rondaan berikutan banyak kes kecurian buah kelapa sawit di ladang berkenaan.

Penduduk kampung mengejar ketiga-tiga penjenayah, namun dua daripada mereka berjaya melarikan diri ke dalam hutan berdekatan.

Seorang yang dapat diberkas itu diserahkan kepada polis yang menghantarnya ke Hospital Besut untuk dirawat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Supt Kamaruddin Mohd Zakaria mengesahkan kejadian itu dan suspek ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan kerana cuba mencuri. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain