suria

Kos Perkhidmatan MAS Lebih Rendah Melalui SA Dengan AirAsia X

KUALA LUMPUR: Perjanjian Usaha Sama Tambahan (SA) antara Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia X Sdn Bhd, dimeterai bagi memberi peluang kepada MAS menyediakan perkhidmatan pada kos yang lebih rendah.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan berkata, perjanjian dan dua Memorandum Persefahaman lain yang ditandatangani selepas pemansuhan pertukaran saham antara MAS dan AirAsia Bhd itu melibatkan aktiviti pemerolehan serta perkhidmatan pembaikan dan penyelenggaraan pesawat.

"MAS berpeluang mendapatkan terma yang lebih baik melalui perkongsian peralatan serta perkhidmatan selain dapat berkongsi dan menjual rizab kapasiti kepada syarikat penerbangan lain," kata beliau dalam jawapan bertulis kepada soalan Wee Choo Keong (Bebas-Wangsa Maju) di Parlimen, Isnin.

Wee bertanyakan sebab usaha sama perlu dibentuk antara MAS dan AirAsia X Sdn Bhd selepas pemansuhan pertukaran saham antara MAS-AirAsia pada 2 Mei lepas.

Najib berkata, kerjasama sedemikian perlu diteruskan bagi meningkatkan sinergi perniagaan MAS melalui pengukuhan perkhidmatan dalam pasaran utama, peningkatan kendalian penumpang dan penggunaan sumber secara optimum.

Beliau berkata Pelan Perniagaan MAS memberi fokus kepada Kejuruteraan dan Penyenggaraan sebagai langkah strategik untuk mengukuhkan potensi Kejuruteraan Aeroangkasa Malaysia (MAE) bukan sahaja untuk penyeliaan pesawat malah membangunkan penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO).

"Dengan ini, MAE akan lebih berdaya saing dan mampu mengukuhkan kedudukannya dalam aktiviti industri penerbangan yang semakin mencabar dan berkembang pesat," kata beliau. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain