suria

Fama Sedia Tiga Juta Kelapa Sempena Ramadan & Aidilfitri

ALOR SETAR: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) akan menyediakan sebanyak tiga juta biji kelapa untuk kegunaan sepanjang Ramadan dan Aidilfitri ini.

Ketua Pengarah Fama, Ahmad Ishak berkata penambahan bahan keperluan itu dibuat dalam tempoh sebulan bagi menampung permintaan tinggi pengguna dalam menyediakan makanan dan kuih sempena perayaan tersebut.

Katanya sebelum ini pihaknya hanya menyediakan sejuta biji kelapa kepada pengguna dan jumlah itu tidak mencukupi.

Beliau berkata selain mendapatkan bekalan kelapa tempatan, Fama juga mengimport bahan itu dari Indonesia bagi menampung permintaan daripada rakyat negara ini.

"Kalau ada permintaan lebih daripada pengguna, kita akan tambah jumlah kelapa tersebut," katanya kepada pemberita pada majlis penyampaian Anugerah Khidmat Setia dan Amat Setia kepada kakitangan Fama di sini Isnin.

Beliau berkata Fama turut melancarkan program Jimat Belanja Dapur (JBD) fasa empat yang akan bermula bulan depan sempena Ramadan dan musim perayaan ini.

Ahmad yakin melalui program itu yang membabitkan 470 pasar tani di seluruh negara, ia dapat membantu pengguna menjimatkan belanja dapur hampir RM100 sebulan.

Katanya kajian Jabatan Statistik Negara menerusi indeks harga pengguna terhadap JBD fasa tiga mendapati, setiap bulan Fama melakukan penjimatan terhadap pengguna kira-kira RM500,000.

Beliau berkata ini menunjukkan harga barangan di pasar tani seluruh negara menurun antara lima dan 10 peratus. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain