suria

Bomba Sukarela Maut, Enam Cedera Dalam Kemalangan

SUNGAI PETANI: Seorang anggota bomba sukarela maut manakala enam rakannya cedera selepas jentera bomba yang mereka naiki terbabas semasa dalam perjalanan untuk memadam kebakaran di Kampung Baru Padang Lembu, Gurun, dekat sini, Ahad.

Chow Kok Kong, 51, maut di tempat kejadian selepas tercampak keluar dari jentera yang dipandunya dalam kejadian pada 1.30 tengah hari tadi.

Ng Eng Chai, 46, Ong Chong Yaw, 22, dan Lee Kian Fong, 41, dimasukkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini dan tiga yang diberi rawatan sebagai pesakit luar di hospital sama ialah Kok Beng Foo, 39, Kok Kok Chon, 40, dan Lim Chin Ping, 42.

Kok Kok Chon yang ditemui pemberita di HSAH berkata mereka hampir sampai di tempat kebakaran apabila nahas itu berlaku.

Kesemua mangsa merupakan anggota bomba sukarela dari Balai Bomba Sukarela Merbok dekat sini.

"Ketika kami sampai di satu selekoh berhadapan Klinik Kesihatan Padang Lembu, Kapten (Chaw Kok Kong) yang memandu jentera cuba mengelak sebuah motosikal yang datang dari arah bertentangan menyebabkan jentera kami berpusing beberpa kali lalu terbabas ke kiri jalan," katanya.

Kok Kok Chon berkata dia merangkak keluar melalui tingkap dan terlihat Chow terbaring di atas jalan.

"Saya lihat Chow tidak sedarkan diri. Kami dibantu pasukan St John Ambulance dan anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Gurun, Dr Leong Yong Kong.

"Kejadian ini tidak mematahkan semangat saya untuk meneruskan kerja sukarela ini yang diceburi sejak tahun 2004," katanya.

"Semasa sampai saya lihat pemandu jentera bomba itu tidak sedarkan diri dan nadinya juga tidak berdenyut. Mungkin dia mengalami kecederaan dalaman yang parah," kata Yong Kong yang turut mengiringi kesemua mangsa ke HSAH.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sungai Petani Supt Ong Aik Chang yang dihubungi berkata polis telah menerima laporan mengenai kemalangan itu. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain