suria

Bicara Kes Tuntutan Mutaah Bekas Menantu Taib Mahmud Ditangguh

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes tuntutan mutaah berjumlah RM100 juta yang difailkan bekas menantu Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud, Shahnaz Abdul Majid, ditangguhkan ke 24 September ini.

Ketua Hakim Syarie Datuk Muhammad Abdullah menetapkan tarikh itu di dalam kamar selepas bertemu peguam Dr Mohd Rafie Mohd Shafie mewakili Shahnaz, dan Datuk Zainul Rijal Abu Bakar mewakili anak Ketua Menteri Sarawak, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Abdul Taib.

Plaintif, Shahnaz, 49, dan Mahmud Abu Bekir selaku defendan, hadir di mahkamah hari ini yang sepatutnya mendengar perbicaraan tuntutan mutaah dan harta sepencarian yang difailkan Shahnaz.

Bagaimanapun, ketika ditemui di luar mahkamah, Mohd Rafie memberitahu pemberita bahawa mahkamah menangguhkan prosiding bagi membolehkan kedua-dua pihak berbincang mengenai kes itu.

"Mahkamah menetapkan empat tarikh iaitu 24 dan 26 Sept serta 2 dan 24 Okt sebagai tarikh perbicaraan kes itu sekiranya kedua-dua pihak tidak mencapai penyelesaian," kata Mohd Rafie.

Shahnaz, kakak kepada ratu jazz negara Datuk Sheila Majid, turut memfailkan tuntutan harta sepencarian berjumlah RM300 juta terhadap Mahmud Abu Bekir.

Beliau memohon aset-aset milik defendan seperti tujuh kereta mewah, beribu hektar tanah di Sarawak dan saham dalam 15 syarikat diisytiharkan sebagai harta sepencarian.

Pada 11 Mei tahun lepas, Mahkamah Tinggi Syariah mengesahkan perceraian talak satu antara Mahmud Abu Bekir dengan Shahnaz yang berkahwin pada 9 Januari 1992 dan dikurnia seorang anak lelaki, Raden Murya, 19. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain