suria

Bengkel Transformasi Penerbitan Buku Teks Bincang Konsep Buku KBSM

PETALING JAYA: Kementerian Pelajaran menganjurkan bengkel Transformasi Penerbitan Buku Teks melibatkan guru dan pensyarah bagi mendapat maklum balas berhubung konsep buku teks yang bakal diterbitkan untuk diguna pakai mulai tahun 2017.

Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Dasar dan Pembangunan Pendidikan) kementerian itu Dr Amin Senin berkata buku teks ini adalah bagi pelaksanaan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) yang menggantikan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM), bermula dengan Tingkatan 1.

Kurikulum baru berbentuk modular itu akan memberi peluang kepada setiap pelajar, melalui proses pembelajaran mengikut kemampuan sendiri, memupuk sikap bertanggungjawab terhadap pembelajaran menerusi aktiviti eksplorasi yang mampu menyerlahkan potensi mereka.

"Kurikulum tersebut turut menekankan kreativiti, inovasi dan keusahawanan merentasi semua mata pelajaran bagi menerapkan nilai di peringkat awal dalam pembinaan sahsiah individu," katanya semasa merasmikan bengkel tiga hari yang bermula esok dan membabitkan 77 guru serta pensyarah di sini malam Ahad.

Amin berkata bengkel itu juga akan membolehkan peserta berkongsi maklumat dan kepakaran berkaitan transformasi pendidikan secara menyeluruh serta memberi sentuhan inovasi dan kreativiti ke arah penghasilan buku teks lebih berkualiti. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain