suria

Aspek Kerohanian Penting Dalam Proses Transformasi Negara - PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan sentiasa memastikan penekanan terhadap aspek kerohanian dan agama Islam menjadi salah satu elemen penting dalam proses transformasi negara.

Katanya selain usaha mentransformasikan negara menjadi negara moden yang maju serta berpendapatan tinggi, penekanan kepada usaha-usaha untuk mempertahan syiar Islam, akhlak Islam dan institusi Islam juga penting.

"Saya tidak ingin lihat proses transformasi negara dari sudut pertimbangan peningkatan pendapatan semata-semata ataupun nilai pendapatan per kapita yang biasa menjadi ukuran tahap pembangunan negara.

"Tetapi kejayaan ia mestilah bersifat menyeluruh dan holistik, mesti juga menekankan soal spiritual (kerohanian) dan kemajuan Islam itu sendiri dan tidak kurang penting juga peranan pemimpin Islam dan para ulama," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian pada majlis pelancaran Sekretariat Ulama-Umara (UMUM) dan buku "Agenda Islam Dalam Transformasi Negara" di sini, Isnin.

Menurutnya, kerajaan kini komited untuk melaksanakan agenda Islam dalam pentadbiran negara.

Katanya sebarang pemikiran yang menyeleweng seperti liberalisme, pluralisme dan Lesbian, Gay, Bi-Seksual & Trans Gender (LGBT) tidak akan mendapat tempat di negara ini.

"Apa yang penting, kita tetap istiqamah dengan agenda Islam ini tanpa sebarang dolak-dalik. Kita mempunyai matlamat yang jelas dengan hala tuju negara.

"Dan kini kita berada di atas landasan yang betul bagi membanggakan dunia Islam dengan berusaha untuk menjadi sebuah negara Islam moden yang maju menjelang tahun 2020 nanti," katanya.

Mengulas mengenai buku tersebut yang merupakan koleksi ucapan dan perutusan serta 11 agenda Islam oleh Perdana Menteri sepanjang tiga tahun lepas, Najib berkata ia mengandungi keputusan-keputusan penting serta janji kerajaan bagi memaknai agenda Islam dalam pentadbiran negara.

"Buku ini menjadi bukti kesungguhan kerajaan dalam membangunkan hal ehwal Islam. Saya sengaja mempersembahkan buku ini dengan rencah ramuannya yang mudah difahami," katanya.

Najib juga menerangkan 11 agenda tersebut merujuk kepada suatu susunan misi kerajaan bagi mencapai hasrat memartabatkan Islam, sesuai dengan peruntukan Islam sebagai agama Persekutuan.

Terdahulu, Mufti Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria ketika memberi ucapan ulasan mengenai buku itu berkata perjuangannya selama 45 tahun sebagai pemimpin agama telah direalisasikan oleh kerajaan.

"Alhamdulilah, syukur kepada Allah s.w.t, kerajaan tidak pernah meminggirkan agenda Islam dalam pembangunan negara," katanya.

Dr Harussani yang juga sebak ketika berucap berkata, selepas membaca buku tersebut beliau yakin kerajaan dan Perdana Menteri telah bersungguh-sungguh untuk mempertahankan agama Islam di negara ini.

Najib dalam ucapannya juga melahirkan rasa terharu kerana kesudian dan kepercayaan Mufti Perak itu terhadap usaha-usaha kerajaan memperjuangkan agama Islam.

"Ini memberi satu kepuasan yang mendalam bukan sahaja kepada kerajaan tetapi bagi diri saya sendiri secara peribadi," katanya.

Perdana Menteri juga sempat bergurau dengan berkata pelancaran buku itu tidak bermakna pilihan raya umum ke-13 sudah dekat.

"Kita akan adakan pilihan raya apabila tiba masa dan ketikanya, harap bersabar," katanya.

Dalam ucapannya Najib juga mengulas mengenai tindakan sebuah parti pembangkang yang meminta anggota parti itu menangguhkan ibadah haji semata-mata kerana pilihan raya, yang Perdana Menteri parti itu lebih mengutamakan kepentingan parti berbanding kepentingan Islam.

"Ibadat haji adalah fardu ain bagi yang mampu sedangkan mengundi adalah fardu kifayah, yang mana satu lebih tinggi di sisi Allah s.w.t dan Islam...jawab?" katanya.

Pada majlis itu, Najib turut mengumumkan kenaikan gred jawatan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh kepada JUSA B, kerana prestasi cemerlang beliau selama ini. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain