suria

SPAD Akan Kemuka Model Baru Pembangunan Industri Teksi Kepada Kerajaan

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dijangka mengemukakan model baru berhubung pembangunan industri teksi di negara ini kepada kerajaan dalam tempoh terdekat.

Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar berkata SPAD kini sedang membuat kajian untuk menambah baik sistem perkhidmatan teksi di negara ini.

"Kita sedang lihat sistem ini dan antaranya kaji berapa banyak lesen teksi yang ada di negara kita setakat ini sebelum dibentangkan kepada Perdana Menteri bersama-sama dengan model baru industri teksi," katanya kepada pemberita selepas pelancaran program Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1Ma) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di pekarangan Stadium Bukit Jalil di sini, Ahad.

Pada pelancaran itu, Perdana Menteri mengumumkan pemberian subsidi tayar RM520 setahun, bagi tempoh dua tahun kepada pemandu pertama teksi dan bantuan skim insurans perlindungan kemalangan diri kepada lebih 100,000 pemandu teksi di seluruh negara.

Pada perjumpaan itu juga, Najib berkata kerajaan akan memperkenalkan satu model baru untuk industri teksi dalam masa dua tahun serta pemberian permit teksi kepada individu.

Mengenai pemberian permit teksi kepada individu di bawah model baru itu, Syed Hamid berkata keutamaan akan diberi kepada pemandu teksi yang telah lama dalam industri itu tetapi masih menggunakan permit syarikat.

Selain itu, katanya kajian SPAD juga akan mengfokuskan kepada kaedah pembiayaan kewangan untuk memiliki permit dan teksi bagi individu.

Syarat-syarat pemberian baucar tayar ialah penerima mesti merupakan warganegara dan pemandu pertama kepada teksi.

Mereka juga harus memiliki kad pemandu yang sah.

Empat jenis teksi yang akan menikmati subsidi tayar itu ialah teksi bajet, teksi eksekutif, kereta sewa dan teksi lapangan terbang.

Bagi skim insurans pula, bantuan itu dijangka memanfaatkan lebih 100,000 pemandu teksi di seluruh negara. Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) terlibat dalam menyediakan dana lebih RM1 juta untuk skim insurans itu.

Antara manfaat skim insurans itu ialah pampasan sebanyak RM10,000 untuk kematian akibat kemalangan, RM10,000 untuk ketidakupayaan kekal akibat kemalangan, RM500 untuk kos rawatan perubatan akibat kemalangan, RM1,500 untuk khairat kematian akibat kemalangan dan RM1,000 untuk khairat kematian biasa.

Sementara itu, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata kementerian itu akan membayar premium sebanyak RM10.60 untuk setiap pemandu teksi yang mendaftarkan diri.

Rais turut menyifatkan bantuan kerajaan kepada pemandu teksi seperti yang diumumkan itu, adalah sebagai pengiktirafan kerajaan terhadap perkhidmatan golongan itu.

Beliau juga menggesa pemandu teksi yang belum menjadi anggota persatuan supaya segera menjadi ahli bagi membolehkan bantuan dan keterangan disalurkan dengan lebih berkesan lagi.

Katanya maklumat lanjut mengenai permohonan dan borang skim insurans itu boleh menghubungi Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha Teksi/Limosin dan Kereta Sewa Malaysia (Petekma) di talian 03-61842680.

Menyentuh peranan pemandu teksi sebagai duta kecil kepada negara, Rais berkata kementerian itu dengan kerjasama beberapa kementerian dan agensi lain akan terus mengadakan program-program bimbingan untuk pemandu teksi bagi mempertingkatkan lagi kemahiran mereka.

"Dalam masa terdekat kita akan mengadakan program-program bimbingan seperti program murni bagi meningkatkan nilai-nilai murni dalam kalangan pemandu teksi di negara ini.

Kita cuba supaya dapat wujudkan golongan pemandu teksi contoh, yang berhemah tinggi dan mempunyai nilai-nilai yang murni," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain