suria

Orang Melayu Diseru Bersatu Hadapi Ancaman Kaum Sendiri - Muhyiddin

JOHOR BAHARU: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sudah sampai masanya Orang Melayu bangkit dan bersatu mempertahankan nasib bangsa daripada ancaman yang dibawa kelompok tertentu daripada bangsa Melayu sendiri.

Beliau berkata orang Melayu perlu teguh untuk menghadapi pemimpin yang mendukung ideologi yang bertentangan dengan agama, adat resam, cara hidup budaya bangsa Melayu kerana mereka hanya memikirkan soal politik daripada membantu kaum sendiri.

"Bagi saya sudah sampai masanya kita bangkit dan bangun mengukuhkan jemaah kita hari ini. Saya menyebut begini kerana saya sedar tentang ancaman yang dihadapi oleh kita yang datangnya dari puak-puak kalangan orang Melayu juga, membawa ideologi bertentangan dengan agama, adat resam, budaya cara hidup kita yang sudah terkanun sekian lama.

"Tindakan sesetengah pemimpin menyokong ideologi songsang seperti jika sokong parti berkenaan akan masuk syurga adalah fahaman yang merosakkan akidah," katanya ketika berucap pada Program Sembang-Sembang Bersama Pemimpin anjuran Pertubuhan Warisan Melayu Negeri Johor (Warisan) di sini, Sabtu.

Majlis turut dihadiri oleh Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman dan Presiden Pertubuhan Warisan Melayu Johor (WARISAN) Datuk Abd Rahman Yunos serta lebih 3,000 ahli persatuan itu dari seluruh negeri ini. Muhyiddin kerkata jika orang Melayu terus tidak bersatu untuk menentukan hala tuju bangsa, mereka akan tersisih daripada arus pembangunan lebih-lebih lagi dalam era dunia tanpa sempadan pada masa kini.

"Kita tidak boleh lagi bergantung kepada bantuan kebajikan tetapi mesti mampu berdikari di atas kaki sendiri...dan ini memerlukan keupayaan, dukungan dan kerjasama semua pihak sehingga ke peringkat akar umbi," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan sendiri telah melakukan pelbagai usaha untuk memastikan kaum Melayu tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara dan tidak hanya menjadi pemerhati dan duduk di pesisir arus pembangunan negara.

Beliau turut menyeru pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu supaya turut sama membantu kerajaan dalam usaha membela nasib kaum berkenaan.

"Soal pembangunan serah keada kerajaan, tetapi usaha untuk membela nasib bangsa Melayu harus dipikul bersama oleh semua pemimpin Melayu untuk memastikan kita tidak ketinggalan daripada mengecapi kemakmuran negara," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain