suria

Kualiti Udara Di Seluruh Negara Semakin Baik - JAS

KUALA LUMPUR: Kualiti udara di seluruh negara pada Ahad semakin baik apabila 17 kawasan berada pada tahap baik dan 33 kawasan pada tahap sederhana sehingga pukul 11 pagi tadi dalam tempoh 24 jam lepas.

Menurut kenyataan Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada Sabtu, 11 kawasan berada di tahap baik manakala 39 lagi tahap sederhana.

Kawasan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri, Sarawak kekal menjadi satu-satunya kawasan pada tahap tidak sihat, dengan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan itu meningkat kepada 144 berbanding 122, Sabtu.

Kemerosotan kualiti udara di kawasan Miri disebabkan kebakaran tanah gambut seluas 12 hektar di Permyjaya berdekatan ILP Kuala Baram, Miri.

"Memandangkan terdapat peningkatan bilangan titik panas di Sarawak pada 23 Jun (semalam) iaitu 77 berbanding 39 pada 22 Jun (Jumaat), Kerajaan Negeri Sarawak telah menggerakkan Jawatankuasa Bencana Bahagian Miri.

"Jawatankuasa yang melibatkan agensi tempatan yang berkaitan, digerakkan bagi membendung kebakaran daripada merebak dan membantu kerja-kerja pemadaman api serta mengawal kebakaran," katanya.

Selain itu, status kualiti udara di Semenanjung menunjukkan penurunan bacaan IPU tetapi cuaca panas dan kering sepanjang Jun selain peningkatan titik panas mungkin mengakibatkan ketidakstabilan kualiti udara.

JAS turut menggerakkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, Pelan Tindakan Mencegah Pembakaran Terbuka dan mempertingkat program pencegahan kebakaran tanah gambut bagi mengawal punca yang boleh menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara di seluruh negara.

Kenyataan itu menyebut perintah larangan pembakaran terbuka di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang dikeluarkan pada 16 Jun serta di kawasan Tudan, Permyjaya dan Kuala Baram di Miri, Sarawak yang dikeluarkan pada Jumaat lepas masih berkuatkuasa. - BERNAMA

Artikel Lain