suria

Enam Penyelam Dilapor Hilang Ditemui Selamat

KUANTAN: Kesemua enam penyelam yang dilaporkan hilang di perairan Pulau Chebeh, kira-kira 4.2 batu nautika dari Pulau Tioman pada Sabtu ditemui selamat pagi Ahad.

Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim Kuantan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kapten Maritim Ab Aziz Idrus berkata semua penyelam, yang terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita, ditemui pukul 9 pagi kira-kira 22 batu nautika dari lokasi mereka dilaporkan hilang.

"Semua mangsa ditemui terapung, mangsa yang diselamatkan ialah empat warga Malaysia iaitu dua lelaki - Yang Jia Xing, 26, dan Lim Kong Hooi, 27 dan dua perempuan, Leong Li Kar, 26, dan Maggie Lim, 27.

"Manakala dua lagi mangsa lelaki yang diselamatkan ialah warga Singapura Hu Jin Jie, 25, dan Xu Zhiming, 33, warga China," katanya kepada pemberita pada Ahad.

Beliau berkata semua mangsa ditemui dalam keadaan selamat oleh sebuah bot tunda, Kencana Makmur, yang kebetulan lalu di lokasi berkenaan.

"Pihak berkuasa kemudian menyelamatkan semua mangsa dari bot berkenaan pada 1.40 petang tadi dan selamat sampai ke Jeti Tekek, Pulau Tioman kira-kira 3 petang tadi," katanya.

Dalam kejadian pada Sabtu, seramai 19 penyelam yang dibahagi kepada tiga kumpulan melakukan aktiviti menyelam di perairan berkenaan.

Ab Aziz berkata kumpulan dilaporkan hilang terdiri daripada tujuh penyelam yang melakukan aktiviti dengan jarak lebih kurang 200 meter dari Pulau Chebeh pada 12 tengah hari.

"Seorang daripada tujuh penyelam berkenaan berjaya naik ke atas bot yang membawa mereka sejam kemudian, manakala selebihnya dilaporkan hilang," katanya.

Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat diaktifkan pada 4.15 petang semalam melibatkan tiga bot APMM serta sebuah bot TUDM.

Katanya, operasi kemudian terpaksa ditangguhkan pada 7.30 petang kerana jarak penglihatan yang terhad dan disambung semula 7 pagi tadi. - BERNAMA

Artikel Lain