suria

Warga Asing Dipercayai Terbabit Kecurian ATM Sekitar Lembah Klang

KUALA LUMPUR: Kes kecurian mesin teller automatik (ATM) di sekitar Lembah Klang bulan lalu dipercayai membabitkan warga asing berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di mesin terbabit.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur ACP Khairi Ahrasa berkata siasatan awal berdasarkan CCTV mendapati kumpulan terbabit bukan dari kalangan warga tempatan.

"Setakat ini belum ada tangkapan, dan siasatan akan terus dijalankan bagi mengenal pasti identiti suspek," katanya kepada pemberita pada majlis Hari Balai Polis Terbuka sempena Hari Polis ke-205 di Balai Polis Jinjang, Sentul di sini Sabtu.

Majlis itu dirasmikan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh.

Turut hadir timbalannya Datuk Amar Singh Ishar Singh.

Pada 25 Mei lepas, sebuah ATM dilarikan dari sebuah kompleks membeli-belah di Balakong dekat sini, dengan nilai RM200,000.

Sehari kemudian, sebuah lagi mesin serupa di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Universiti di Lembah Pantai pula dilarikan dengan nilai kerugian lebih RM61,000.

Pada 28 Mei lepas, sekumpulan penjenayah berputih mata apabila gagal memecah ATM di sebuah pasar raya di Pantai Dalam, bila loceng penggera keselamatan berbunyi dalam kejadian pukul 11 malam.

Sementara itu, Mohmad berkata program tahunan itu bertujuan memupuk semangat muhibah di samping mengerat hubungan antara warga polis dan masyarakat setempat.

Tema sambutan Hari Polis tahun ini: 'Komuniti Sejahtera, Komitmen Kami'.

Pelbagai aktiviti diadakan termasuk penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang 2011 kepada 107 pelajar di lima daerah seliaan Polis Kuala Lumpur, penyampaian sumbangan kepada Rumah Anak Yatim Titian Kasih, peluang untuk melawat lokap Balai Polis Jinjang serta pelancaran Unit Berbasikal dan Duta Cilik Pencegahan Jenayah bagi Daerah Sentul. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain