suria

PM Kunjungi Pasar Melaka Sentral

MELAKA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang melakukan lawatan ke Melaka Bandaraya Bersejarah, mengunjungi pasar besar di Melaka Sentral di Peringgit di sini, Sabtu.

Beliau bersama Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam serta barisan pimpinan negeri yang tiba kira-kira pukul 9.20 pagi, diberi sambutan hangat oleh para pengunjung pasar yang tidak melepaskan peluang menatap wajah pemimpin tertinggi negara itu.

Melaka Sentral, sebuah pusat terminal bas dan teksi di tengah-tengah bandar Melaka yang beroperasi sejak lapan tahun lepas, turut menempatkan pasar basah terbesar di negeri ini.

Najib sempat melawat dan bersalaman serta bertanya khabar kepada para peniaga yang menjual ikan, daging, sayuran dan keperluan lain.

Beliau kemudian ke tingkat dua pasar itu yang menempatkan gerai minuman dan makanan serta bersarapan kira-kira 15 minit bersama-sama para pengunjung.

Antara pengunjung bertuah ialah seorang warganegara Singapura, Abdul Rahim Ahmad, 54, yang sangat gembira kerana berpeluang duduk semeja untuk bersarapan bersama Perdana Menteri.

"Saya tidak sangka tuah saya untuk duduk bersebelahan Datuk Seri Najib pada pagi ini... saya sangat teruja," kata Abdul Rahim, yang berasal dari Bukit Panjang dan bertugas sebagai kerani di sebuah syarikat swasta di republik itu.

Beliau yang kerap berulang ke Melaka pada hujung minggu kerana berniaga kain di sini, berkata beliau tiba di gerai itu seawal pukul enam pagi semata-mata ingin menatap wajah Perdana Menteri.

Turut berkongsi meja bersarapan bersama Najib ialah seorang anggota veteran Wanita Umno, Bayah Sidek, 72.

"Makcik tak sangka dipilih oleh pihak urusetia untuk duduk bersama Perdana Menteri... ini satu kenangan istimewa untuk bersarapan bersama beliau," katanya yang berasal dari Pantai Kundur, di sini.

Perdana Menteri kemudian menaiki bas panaroma Melaka bersama rombongan ke majlis perasmian Pusat Transformasi Bandar dan Jelajah Janji Ditepati di Jalan Hang Tuah, di sini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain