suria

Penutupan Longkang Punca Pembiakan Nyamuk Aedes - Liow

BENTONG: Tindakan orang ramai yang menurap atau menutup keseluruhan longkang di kediaman mereka terutamanya di kawasan perumahan, dilihat punca peningkatan pembiakan nyamuk Aedes.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Liow Tiong Lai berkata tindakan sedemikian menyebabkan pihak berkuasa tempatan (PBT) sukar melakukan kerja-kerja pembersihan longkang.

"Ramai penduduk kawasan perumahan menghidap demam denggi akibat jangkitan nyamuk Aedes kerana longkang-longkang rumah mereka menjadi sarang pembiakan nyamuk tersebut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Janda Baik anjuran bersama Pemuda Umno Bentong dan Persatuan Belia Kampung Janda Baik, di sini Sabtu.

"Setiap tahun purata kira-kira 120 kematian akibat demam denggi, semua pihak perlu sama-sama bertanggungjawab dalam menangani pembiakan nyamuk berkenaan," katanya.

Beliau turut menyarankan agar PBT mengadakan peraturan tertentu atau memberi garis panduan kepada penduduk supaya mereka tidak menutup keseluruhan longkang rumah.

"Selain air yang bertakung, sampah-sarap yang tidak diangkut mengikut jadual dalam tempoh seminggu juga menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain