suria

Pengasuh Kanak-Kanak Didenda RM800 Kerana Cederakan Bayi

PETALING JAYA: Gara-gara tidak tahan mendengar tangisan bayi yang menangis tanpa henti, lalu mencederakannya, seorang pengasuh kanak-kanak didenda RM800 atau dua bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, Jumaat.

Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid menjatuhkan hukuman itu terhadap Nadhrah Awang, 23, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu mendatangkan cedera terhadap Gabriella Gail Gabriel, berusia tiga bulan, di H117 Apartment Vista, Damansara Damai di sini pada 8 Jan lalu.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam, didakwa mengikut Sekyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, Nadhrah yang tidak tahan mendengar tangisan bayi yang tidak berhenti-henti itu bertindak mencederakan bayi berkenaan sehingga lebam.

Terdahulu, Nadhrah yang berasal dari Johor memohon agar hukumannya diringankan kerana dia merupakan suri rumah sepenuh masa. Timbalan Pendakwa Raya Siti Ruvinna Mohd Rawi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana tertuduh seharusnya menjaga bayi itu, bukan mencederakannya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain