suria

Pemimpin BN Sabah Diseru Bersatu Hadapi PRU13 - Musa Aman

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman mengajak pemimpin Barisan Nasional (BN) di negeri ini supaya melupakan perkara tidak baik yang merugikan, sebaliknya memikirkan perkara yang baik terutamanya dalam menjayakan program transformasi dan perjuangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk rakyat, negeri dan negara.

Dalam hal ini, katanya pemimpin BN seharusnya bersikap jujur dan ikhlas untuk memperjuangkan nasib rakyat menerusi parti gabungan itu.

"Kita mestilah setia (kepada BN), kita jangan berbelah bahagi dan jangan kita tidak ikhlas. Dalam apa sahaja perjuangan, kita mesti mahu ikhlas. "Kita dalam BN mendukung prinsip BN, kita sokong parti ini... jangan kata sokong BN tapi cakap lain. Cakap tidak serupa bikin... ini jadi masalah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis sambutan ulang tahun ke-10 SMK Tebobon, dekat sini, Sabtu.

Musa, yang juga pengerusi BN negeri, berkata demikian ketika ditanya nasihat beliau kepada pemimpin BN yang hanya berpijak sebelah kaki dalam BN.

"Saya selalu nasihatkan rakan-rakan, kawan-kawan dan pemimpin BN, Umno atau parti komponen BN yang lain, kita mesti bersatu padu dan apa sahaja masalah yang ada, kita boleh rujuk dan bincang bersama... itu cara kita.

"Setiap kali berjumpa dengan pemimpin-pemimpin BN kalau mereka ada masalah, kita akan bincang bersama dan Alhamdulilah nampaknya kita boleh selesaikan... yang tidak dapat diselesaikan kita akan rujuk ke atas," katanya.

Beliau percaya Perdana Menteri selaku pengerusi BN sentiasa peka dan prihatin terhadap kepentingan rakyat. "Saya juga minta kepada semua pemimpin BN yang ada di Sabah, kita harus bersatu hati, bekerjasama dan mestilah saling bantu membantu antara satu sama lain. Jangan ada perkara yang tidak baik yang boleh merugikan kita, merugikan parti, rakyat dan negeri," katanya.

Musa berkata pemimpin sering bertukar ganti namun "apa yang penting ialah perjuangan dalam parti mestilah ikhlas dan jujur". "Kalau kita berjuang dalam BN untuk rakyat, bangsa dan negara, Insya-Allah kita akan diberi sokongan oleh rakyat. Rakyat tahu menilai pemimpin... adakah kita jujur atau tidak atau adakah kita ikhlas atau tidak," katanya.

Terdahulu, dalam ucapan, Musa meluluskan projek pembinaan dewan tertutup sekolah menengah berkenaan dan meminta Jabatan Kerja Raya supaya menjalankan kajian segera untuk melebarkan jalan kampung menuju ke SMK Tebobon. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain