suria

Paras Air Semakin Menyusut

PETALING JAYA: Loji rawatan air sukar memenuhi permintaan bekalan air dirawat kerana paras air yang rendah dan permintaan tinggi daripada pengguna, kata Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas).

Ketua Pegawai Operasinya, Datuk Lee Miang Koi berkata, aliran ke dalam loji rawatan air amat rendah.

"Pengeluaran adalah perkara biasa tetapi jumlah air yang dikeluarkan semakin bertambah kerana kadar penggunaan pelanggan meningkat," katanya.

Terdapat gangguan bekalan air di luar dugaan di beberapa kawasan sejak 17 Mei lalu disebabkan paras air yang semakin menyusut dalam takungan utama.

Masalah itu turut ditambah pula dengan peningkatan penggunaan air kerana cuaca panas dan kering di Lembah Klang.

"Oleh itu, terdapat tekanan air rendah dan gangguan bekalan air di beberapa kawasan. Kami secara amnya memerlukan lebih banyak air daripada pengeluar bagi menampung permintaan pengguna untuk tempoh jangka masa panjang. Adalah lebih baik untuk memiliki loji lain," katanya.

Menurut Syabas, purata permintaan air dari 17 Mei hingga 21 Jun adalah 4,329.19 juta liter sehari (mld) berbanding hanya 4,228.89 mld pada 1 Januari hingga 16 Mei lalu.

Ia menunjukkan peningkatan sebanyak 2.37%.

Antara loji rawatan air yang beroperasi melebihi kapasiti adalah Sg Selangor Fasa 2 (SSP2), Sg Langat, Sg Semenyih dan Sg Batu.

Antara kawasan yang sering dilanda gangguan bekalan air dan tekanan air rendah termasuk Petaling, Klang dan Hulu Langat.

Dalam menangani situasi ini, Syabas mengarahkan operator rawatan air untuk beroperasi pada kapasiti maksimum.

Malah, syarikat tersebut turut mengambil pendekatan mengagihkan bekalan air jika perlu.

Para pengguna juga dinasihatkan untuk mengurangkan penggunaan air dan menggunakan air dengan cermat sepanjang musim panas ini.

Untuk keterangan lanjut sila hubungi 1-800-88-5252 atau SMS dengan menaip PUSPEL dan hantar ke 39222 atau layari Facebook atau Twitter untuk maklumat terkini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain