suria

Mubarak Minta Generasi Y Tidak Bereksperimen Pada PRU-13

KUALA LUMPUR: Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) berharap generasi 'Y' di negara ini tidak melakukan eksperimen ke atas masa depan negara menerusi pilihan raya umum akan datang.

Untuk itu, Presidennya Tan Sri Abdul Aziz Rahman meminta golongan tersebut "membuka mata" terhadap suasana di negeri yang ditadbir pembangkang, sebelum membuat keputusan memilih mereka untuk meneraju negara.

"Generasi Y dan golongan muda janganlah bereksperimen dan memberi peluang kepada mereka kerana kita telah memberi peluang dan jelas mereka tidak dapat melaksanakan janji-janji yang ditabur serta dasar-dasar untuk memberi kemudahan kepada rakyat," katanya kepada pemberita di sini Sabtu.

Beliau berkata pada masa ini, pakatan pembangkang lebih banyak menghabiskan masa dan tenaga menyelesaikan masalah dalaman berikutan memiliki falsafah perjuangan berbeza.

"Rakyat sendiri yang merana dan menanggung penderitaan kerana beberapa masalah yang dihadapi tanpa sebarang penyelesaian dan isu-isu yang mudah tidak dapat diselesaikan ekoran tidak ada stabiliti dan kepastian dalam pemerintahan mereka," katanya.

Sebaliknya kata beliau, Barisan Nasional mempunyai pengalaman yang banyak dalam mentadbir negara sehingga membolehkan Malaysia kini berada pada kedudukan ke-10 dunia dalam menarik pelabur asing.

Abdul Aziz sebelum itu merasmikan mesyuarat agung Koperasi Mubarak Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Berhad.

Mengenai Koperasi Murabak, Abdul Aziz berkata setakat ini, koperasi itu mempunyai 715 anggota di lima cawangan iaitu di Perak, Sabah, Kuala Lumpur, Kedah dan Pulau Pinang.

Koperasi ini diperluaskan ke seluruh negara menjelang tahun depan, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain