suria

Mohd Sidek Dilantik Pengerusi Petronas

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pelantikan Tan Sri Mohd Sidek Hassan, yang tempohnya sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) tamat pada Sabtu sebagai Pengerusi Petronas.

Beliau berkata pelantikan itu akan berkuatkuasa sebaik selesai beberapa urusan dalaman.

Menurut Najib, pelantikan itu sebagai menghargai kepimpinan dan integriti Mohd Sidek yang telah menunjukkan perkhidmatan cemerlang dalam sektor perkhidmatan awam.

"Saya yakin dan percaya Tan Sri Mohd Sidek akan memberi sumbangan yang besar dan meningkatkan hubungan antara Petronas dan kerajaan," katanya ketika mengumumkan pelantikan itu pada majlis makan malam penghargaan Mohd Sidek di sini malam Jumaat.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Seri Noorainee Abdul Rahman serta isteri Mohd Sidek, Puan Sri Wan Noorlina Wan Hussin.

Pada masa ini, jawatan pengerusi Petronas dipangku oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas.

Mohd Sidek dilantik menerajui perkhidmatan awam sebagai KSN pada 3 Sept 2006.

Perkhidmatan beliau disambung sebanyak tiga kali sejak 2009 sehingga kini atas kepentingan negara.

Jawatan KSN yang baru akan disandang oleh Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa, 57, berkuat kuasa 24 Jun ini.

Najib berkata dalam tempoh enam tahun menerajui perkhidmatan awam, Mohd Sidek telah meningkatkan tahap perkhidmatan awam sehingga mampu menjadi penanda aras global sebagai sektor perkhidmatan yang boleh dicontohi.

"Sepanjang kepimpinan Tan Sri Mohd Sidek, kerjasama erat antara sektor awam dan swasta ditingkatkan, beliau juga meningkatkan tatacara pengurusan perkhidmatan awam dengan memperkenalkan pembayaran bil-bil kerajaan dalam tempoh 14 hari.

"Perubahan yang amat berjaya ialah Strategi Lautan Biru yang telah membawa hasil yang sangat membanggakan," katanya.

Najib berkata beliau yakin sebagai penjawat awam yang telah berkhidmat sebagai 38 tahun, Mohd Sidek bukan seorang yang mencari populariti peribadi, tetapi lebih senang sejarah sumbangannya dinilai oleh rakyat sendiri.

Dalam pada itu, Mohd Sidek berkata pengumuman Perdana Menteri mengenai pelantikannya sebagai Pengerusi Petronas adalah satu kejutan besar buat dirinya.

"Saya ingat sebagai ketua setiausaha dan setiausaha kepada Kabinet, tidak harus ada rahsia antara kami tetapi pengumuman ini merupakan satu rahsia kepada saya. Saya hanya tahu apabila perdana menteri mengumumkannya," katanya.

Bagaimanapun, Mohd Sidek berkata beliau amat menghargai pelantikan itu dan berjanji akan melakukan yang terbaik agar tidak menghampakan harapan semua pihak.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain