suria

Dua Beranak Maut Dirempuh Kenderaan Pacuan Empat Roda

GUA MUSANG: Dua beranak maut selepas dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipercayai dipandu seorang lelaki mabuk di Jalan Bandar Lama di sini, malam Jumaat.

Mustapa Husin, 51, dan anak perempuannya, Nor Natasha, 9, dari Kampung Rahmat di sini, meninggal dunia di Hospital Gua Musang ketika diberi rawatan kecemasan.

Ketua Polis Daerah Superintenden Saiful Bahri Abdullah berkata kejadian berlaku kira-kira 11.40 malam ketika dua beranak itu sedang bersiap sedia untuk menaiki motosikal selepas makan di sebuah kedai. Mustapa sedang memakaikan topi keledar anaknya ketika kenderaan pacuan empat roda itu merempuh mereka.

Saiful Bahri berkata seorang lelaki berusia 38 tahun, yang memandu kenderaan itu, cuba melarikan diri namun dapat ditahan di Jalan Kampung Pulai di sini.

Pacuan empat roda yang dipandu lelaki itu juga dipercayai merempuh tiga kenderaan lain.

Mayat mangsa dituntut keluarga mereka pagi ini untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lembaga. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain