suria

Cuepacs Cadang Cuti Tanpa Rekod Untuk Penjawat Awam Tunai Umrah

LANGKAWI: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan mempertimbangkan pemberian cuti tanpa rekod bagi penjawat awam menunaikan umrah.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata Cuepacs akan membuat usul rasmi kepada kerajaan berhubung perkara tersebut dalam masa terdekat.

"Bermula Januari 2009, cuti rehat penjawat awam dikurangkan dari 30 hari hingga 35 hari setahun kepada 17 hingga 25 hari. Penjawat awam hanya dibenar mengambil cuti tanpa rekod untuk aktiviti-aktiviti melibatkan negara atau negeri sahaja dan perlu mengambil cuti rehat atau tanpa gaji untuk menunaikan umrah.

"Ramai penjawat awam yang menunaikan umrah terpaksa menggunakan cuti rehat atau mengambil cuti tanpa gaji. Jadi kita minta kerajaan pertimbangkan semula penggunaan cuti tanpa rekod untuk tujuan itu," katanya kepada pemberita, di sini Sabtu.

Beliau berkata cadangan itu wajar memandangkan kebanyakan penjawat awam, terutamanya wanita, banyak mengambil cuti rehat bagi menguruskan pelbagai perkara.

"Kadang-kadang penjawat awam wanita terpaksa mengambil cuti tanpa gaji untuk menjaga suami, ibu, bapa dan anak-anak yang sakit kerana cuti rehat mereka telah habis," katanya.

Katanya Cuepacs juga akan mengusulkan agar penjawat bukan Islam menikmati kemudahan cuti tanpa rekod untuk melancong sambil belajar.

"Contohnya kita bagi peruntukan selama 10 hari kepada mereka dan mereka boleh pergi melancong di mana-mana negara yang mereka mahu dengan tujuan untuk meningkatkan ilmu tetapi dengan syarat masti pergi dengan kumpulan, bukannya individu," katanya.

Omar berkata Cuepacs akan membawa usul itu menerusi permohonan menambah baik kebajikan penjawat awam selaras dengan usaha kerajaan menambah baik perkhidmatan awam menerusi penubuhan Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain