suria

APMM Gagalkan Cubaan Seludup Keluar 1,920 Kg Gula Pasir

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tawau berjaya mematahkan cubaan menyeludup keluar 1,920 kilogram gula pasir dan 680 kilogram minyak masak ke negara jiran menggunakan bot petang Jumaat.

Ketua Penguatkuasa Maritim Tawau Komander Azman Samsudin berkata kedua-dua barangan kawalan itu dirampas dari sebuah bot dipercayai dalam perjalanan ke Sungai Haji Kuning, Pulau Sebatik oleh anggota APMM yang meronda di kawasan tersebut pada kira-kira 6 petang.

"Pemeriksaan lanjut mendapati juragan bot tersebut tidak didaftarkan dalam lesen bot berkenaan dan mereka turut membawa muatan barang kawalan lebih kurang 1,920 kilogram gula pasir dan 680 kilogram minyak masak tanpa memiliki lesen yang sah," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata juragan bot berusia 20 tahun dan penumpang bot itu, seorang wanita berusia 46 tahun, yang menggunakan dokuman lintas batas atau pas sempadan, ditahan untuk siasatan lanjut kerana tidak menggunakan laluan keluar masuk sempadan yang ditetapkan.

Azman juga berkata APMM akan mempertingkat operasi bagi meminimumkan kesalahan maritim di kawasan perairan Tawau dan berharap orang ramai terus menyalurkan maklumat kepada agensi itu melalui talian hotline 089-750115 yang dibuka 24 jam. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain