suria

Rumah Disamun Lima Lelaki, Ahli Perniagaan Kerugian RM400,000

JASIN: Seorang ahli perniagaan kerugian wang tunai dan barangan bernilai kira-kira RM400,000 selepas disamun lima lelaki bertopeng yang bersenjatakan parang dan pisau di rumahnya di Taman Pahlawan, Merlimau di sini Khamis.

Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superitendan Shahidi Abdullah berkata, ketika kejadian 6.50 pagi itu, hanya isteri ahli perniagaan tersebut yang berusia 35 tahun dan empat anak mereka berusia antara tujuh dan 18 tahun berada di rumah.

Beliau berkata, ahli perniagaan tersebut tiada di rumah kerana mempunyai urusan perniagaan di Johor Baharu sejak Selasa lepas.

"Ketika kejadian, salah seorang anak mangsa keluar membeli sarapan manakala isteri ahli perniagaan tersebut yang sedang sibuk menyiapkan anak bongsunya ke sekolah di dalam biliknya tidak menyedari kehadiran kesemua suspek di dalam rumah," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin di sini.

Beliau berkata, salah seorang suspek kemudian bertindak menendang pintu bilik sebelum menggeledah rumah berkenaan.

Shahidi berkata, kesemua suspek dipercayai warganegara Indonesia itu kemudian melarikan pelbagai barangan termasuk barangan kemas dianggarkan bernilai RM20,000; tiga buah komputer riba, sembilan telefon bimbit, wang tunai RM500 dan sebuah kereta mewah BMW 5 Series.

Katanya, suspek turut merampas pita rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah berkenaan sebelum melarikan diri menggunakan kereta mangsa.

Beliau berkata, polis giat memburu kesemua suspek termasuk mengesan lokasi mereka melalui alat sistem penentuan kedudukan global (GPS) yang dipasang pada kenderaan mewah itu namun gagal. - BERNAMA

Artikel Lain