suria

Rafizi Letak Jawatan Bukan Kejutan, Akan Lebih Mantapkan Parti - Zuraida

PETALING JAYA: Pengumuman peletakan jawatan sebagai Ketua Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor oleh Rafizi Ramli, pada Khamis merupakan salah satu strategi untuk memantapkan jentera parti.

Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin berkata, pengumuman yang dibuat Rafizi juga bukan satu kejutan dalam PKR kerana kebanyakan pimpinan tertinggi parti telah mengetahui hasrat Rafizi untuk melepaskan jawatan yang disandang sejak 2009.

"Sebenarnya beliau sudah lama 'bersuara' sebab mahu beri tumpuan dalam parti sepenuh masa. Saya dan pimpinan tertinggi tak terkejut.

"Tiada kaitan dengan dakwaan pergolakan dalam parti, malah tindakan beliau itu sebenarnya akan lebih memantapkan parti dan jenteranya," katanya ketika dihubungi mStar Online, Jumaat.

Menurut Zuraida, Rafizi yang memegang jawatan pengarah strategi PKR perlu meluangkan lebih banyak masa kerana beliau dijangka akan bertanding dalam pilihan raya yang akan diadakan pada bila-bila masa dari sekarang.

Malah, Ahli Parlimen Ampang itu juga menegaskan sudah tiba masanya untuk Rafizi 'turun padang' bagi membina dan memantapkan imej beliau sebagai calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

"Dengan ini (letak jawatan) beliau dapat beri tumpuan kepada banyak perkara...selesai banyak perkara dan bongkar kes-kes melibatkan Barisan Nasional (BN) dan Umno.

"Sekarang masanya untuk beliau berkerja keras membina nama dan imej...potensi seorang ahli Parlimen," katanya.

Rafizi dikaitkan dengan desas-desus akan bertanding di Parlimen Pandan menentang Ong Tee Keat pada PRU-13.

Dalam pada itu, Zuraida berkata beliau tidak menolak kemungkinan jawatan yang dilepaskan Rafizi akan dikosongkan buat masa ini.

Katanya, ini disebabkan banyak perkara yang telah diselesaikan Rafizi sebelum meletakkan jawatan.

"Saya kira beliau sudah buat perkiraan sebelum letak jawatan. Urusan pejabat banyak yang sudah diselesaikan.

"Bagi saya buat masa ini tak perlu pengganti kerana fokus pilihan raya yang lebih penting. Bagaimanapun keputusan (cari pengganti) tetap dibuat presiden parti," tegasnya.

Sementara itu, Rafizi, menerusi Twitter, Jumaat, berkata keputusannya meletak jawatan memberi semangat, tenaga dan fokus untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada.

"Tunggu minggu depan dan seterusnya anda akan melihat semangat, tenaga dan tumpuan yang lebih untuk menjatuhkan BN. Itu janji saya."

Pada Khamis, Rafizi mengumumkan peletakan jawatan di Twitter sambil berkata ia proses biasa dan beliau memerlukan rehat bagi menunaikan ibadah sempena bulan Ramadan ini.

Ekoran tindakan mengejut itu, timbul pelbagai dakwaan dan spekulasi termasuklah beberapa isu dalaman yang tidak dipersetujui banyak pihak berkaitan dasar yang melibatkan keputusan kerajaan negeri mentadbir Selangor.

Keputusan turut dispekulasikan dengan krisis pejabat Menteri Besar Selangor yang kini berhadapan desakan memecat Setiausaha Politik kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Faekah Husin.

Artikel Lain