suria

Krisis PKR Selangor: BN Perlu Tunjuk Kelebihan Sebagai Pilihan Rakyat

Datuk Seri Najib Tun Razak. Foto NORAFIFI EHSAN
Datuk Seri Najib Tun Razak. Foto NORAFIFI EHSAN
Datuk Seri Najib Tun Razak. Foto NORAFIFI EHSAN

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, rakyat boleh membuat pertimbangan dalam menentukan parti mana yang terbaik untuk memimpin mereka.

Beliau yang merujuk pada krisis dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Selangor berkata, Barisan Nasional (BN) sebagai sebuah parti perlu menunjukkan yang mereka mempunyai kelebihan sebagai sebab kenapa ia perlu menjadi pilihan rakyat.

"Memang kita sentiasa berusaha untuk capai kejayaan bukan saja di Selangor tetapi juga di seluruh negara.

"Kelebihan itu yang mesti diperlihatkan supaya rakyat lebih yakin bahawa memang BN adalah pilihan terbaik," kata beliau lagi.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Menara Datuk Onn di sini, Jumaat.

Najib berkata, apa yang penting ialah BN perlu menentukan kejayaan sebuah kerajaan yang kukuh dan dapat menentukan agenda transformasi dapat berjalan dengan jayanya.

"(Rakyat akan melihat) Mana satu parti yang boleh melaksanakan kelangsungan pentabirannya, tetapi pentadbiran yang stabil, kukuh yang mencerna keyakinan rakyat juga kepada dunia luar," katanya.

PKR Selangor kini dikatakan sedang dilanda krisis berikutan perletakan jawatan Mohd Rafizi Ramli sebagai ketua eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Negeri.

Ia dikaitkan dengan pergeseran di antara kem Timbalan Presiden, Azmin Ali dengan Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin.

Bagaimanapun kedua-dua Azmin dan Faekah menafikan pergeseran tersebut dalam kenyataan kepada media pada Jumaat.

Artikel Lain