suria

Kotak Meletup Cedera Parahkan Seorang Wanita & Anak

SUNGAI PETANI: Seorang suri rumah cedera parah dengan kedua belah tangannya hampir putus apabila sebuah kotak kecil yang dipegangnya meletup dalam satu kejadian di Taman Angsana Sari di sini, Jumaat.

Tan Cheng Fang, 48, dikejarkan ke hospital swasta berhampiran kediamannya dan kemudiannya dirujuk ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani bagi menjalani pembedahan segera.

Kejadian itu berlaku apabila Tan yang baru pulang membeli keperluan harian di pasar berdekatan ternampak satu kotak kecil yang diletakkan dalam kawasan pagar rumahnya kira-kira pukul 8.21 pagi itu dan cuba mengambilnya apabila dengan tiba-tiba ia meletup.

Anak lelakinya yang berusia 11 tahun yang berada berdekatannya turut cedera di bahagian mata dan telinga terkena serpihan letupan itu dan kini dirawat di HSAH.

Keadaannya dilaporkan stabil.

Jiran mangsa yang dikenali sebagai Lee berkata dia terdengar bunyi letupan kuat dan mendengar jeritan mangsa dan anaknya.

Kata jiran itu, dia dan jiran yang lain segera membawa kedua beranak itu ke hospital swasta yang terletak kira-kira satu kilometer bagi mendapat rawatan.

Menurut Lee, akibat letupan itu cebisan daging dan beberapa jari mangsa terpelanting kira-kira 10 meter ke rumah jiran berhampiran.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda Supt Ong Aik Chang yang dihubungi berkata siasatan awal polis mendapati kotak tersebut dipercayai mengandungi bahan letupan buatan sendiri yang diperbuat daripada beberapa bahan yang belum diketahui.

Katanya, walaupun saiz kotak tersebut kecil ia boleh mendatangkan kecederaan parah atau kematian jika letupan berlaku terlalu hampir dengan mangsa.

Beliau berkata, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan motif kejadian berpunca daripada dendam akibat persaingan perniagaan.

"Kita percaya bahan tersebut dihantar ke rumah mangsa kerana semalam suami mangsa yang juga ahli perniagaan berusia 48 tahun menerima panggilan daripada orang yang tidak dikenali mengatakan ada sesuatu yang menarik (hadiah) akan dihantar ke rumah mangsa," katanya kepada pemberita di sini. - BERNAMA

Artikel Lain