suria

Kerajaan P.Pinang Digesa Jalin Hubungan Langsung Dengan Cuepacs

GEORGE TOWN: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) pada Jumaat meluahkan rasa kesal dengan sikap kerajaan Pulau Pinang yang seolah-olah keberatan untuk menjalin hubungan dengan badan itu.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata sejak mengambil alih pentadbiran negeri pada 2008, kerajaan pimpinan DAP itu tidak membabitkan Cuepacs dalam soal menjaga kepentingan penjawat awam di Pulau Pinang.

"Cuepacs negeri lain semua mempunyai hubungan baik dengan kerajaan negeri mereka, termasuk di Selangor, Kelantan dan Kedah. Ada kerajaan negeri itu yang memberi sumbangan kepada Cuepacs negeri mereka. "Kita tak pandang parti mana memerintah, kita pandang yang mana kerajaan memerintah kita hormat...kerana penjawat awam ini yang menjalankan dasar kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan," katanya pada sidang media, di sini.

Beliau yang ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Kesatuan Kakitangan Perkhidmatan Tadbir dan Awam Pasukan Polis Semenanjung Malaysia (PACSU) cawangan Pulau Pinang, berkata usaha Cuepacs Pulau Pinang untuk mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Lim Guan Eng sering terhalang.

Wakil Cuepacs negeri sudah cuba menghubungi pembantu Ketua Menteri untuk mengatur pertemuan, namun usaha itu gagal kerana tiada langkah susulan dibuat daripada kerajaan negeri termasuk alasan Ketua Menteri sibuk, katanya.

Beliau berkata kurangnya hubungan langsung di antara kepimpinan negeri dan Cuepacs menyebabkan wujud kekangan dalam usaha badan itu membela kepentingan lebih 80,000 penjawat awam di Pulau Pinang.

Omar berkata pihaknya akan menghantar surat kepada Lim minggu depan untuk memohon mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri itu dalam usaha Cuepacs meningkatkan hubungannya dengan kerajaan negeri.

Dalam perkembangan lain, Omar memohon Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) memberi sumbangan kepada Cuepacs bagi membolehkan bantuan kebajikan disalur kepada ahlinya.

Menyifatkan sumbangan itu sebagai tanggungjawab sosial Angkasa, beliau berkata sumbangan tersebut adalah wajar memandangkan lebih 85 peratus penjawat awam membuat pemotongan gaji melalui Angkasa. "Sudah sampai masanya kita memohon jasa baik Angkasa untuk memberi sumbangan kebajikan kepada Cuepacs...kerana penjawat awam adalah pendukung kepada Angkasa, membantu dari segi hal ekonomi Angkasa," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain