suria

Kerajaan Perak Pandang Serius Masalah Projek Perumahan Terbengkalai - Zambry

IPOH: Kerajaan negeri akan terus mengenal pasti kawasan perumahan yang masih terbengkalai di Perak dan melaksanakan langkah-langkah untuk mengatasi masalah itu, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan negeri mewujudkan bahagian khas untuk mengenal pasti kawasan perumahan berkenaan namun proses pengambilalihan projek itu bergantung kepada peruntukan kerajaan negeri.

"Kontrak-kontrak baru akan dipilih bagi menyiapkan perumahan yang terbengkalai seterusnya rumah itu akan dijual pada kadar harga yang bersesuaian dengan harga perumahan yang diwujudkan itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Hartanah dan Perindustrian 2012 di sini, Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai beberapa projek perumahan terbengkalai yang masih terdapat di Perak.

Katanya, kerajaan negeri akan menggunakan saluran Suruhanjaya Perumahan Nasional Berhad (SPNB) bagi mengenal pasti perumahan terbengkalai yang berada dalam kategori rumah mampu milik. Beliau berkata bilangan kawasan perumahan yang terbengkalai kini berkurangan namun kerajaan negeri akan terus berusaha untuk mengatasinya.

"Kerajaan negeri akan terus memikirkan masalah ini kerana ia (projek perumahan) melibatkan wang orang ramai kerana mereka sudah buat pinjaman tapi masih tidak memperoleh rumah," katanya.

Katanya, kerajaan negeri meminta peruntukan daripada Kementerian Kewangan bagi mengatasi masalah ini.

Sementara itu, mengenai statistik dalam sektor hartanah, Perak telah mencapai pertumbuhan yang memberangsangkan bagi tahun 2011 berbanding lima tahun berturut-turut sebelum ini.

"Bagi pindah milik kediaman, perdagangan serta tanah pembangunan, statistik pada 2011 merekodkan sebanyak 54,542 dengan jumlah nilai pindah milik sebanyak RM9.23 bilion berbanding 44,323 pindah milik yang bernilai RM5.75 bilion pada tahun 2011," katanya.

Zambry berkata peningkatan ini menunjukkan ekonomi di Perak sangat aktif dan berada pada landasan yang betul. -BERNAMA

Artikel Lain