suria

Celcom Lancar Pakej Data Bagi iPad Baru

PETALING JAYA: Celcom (Axiata) Bhd melancarkan pakej data bagi iPad baharu untuk menambah baik perniagaan perkhidmatan datanya, kata Ketua Operasi Daya Maju, Afizulazha Abdullah.

Beliau berkata, telefon pintar dan pakej data penting kerana pengguna hari ini ingin sentiasa berhubungan melalui Internet.

"Untuk menggalakkan kesalinghubungan, kami telah memperkenal pakej data bagi iPad untuk membolehkan pelanggan kami mengambil kesempatan sepenuhnya daripada apa yang boleh ditawarkan oleh tablet baru itu, di samping membolehkan mereka memilih pakej mereka, berdasarkan penggunaan data mereka," katanya kepada pemberita selepas pelancarannya di sini, Jumaat. Celcom, penyedia telekomunikasi mudah alih pertama Malaysia, melancarkan dua pelan khusus bagi tablet baru itu Celcom Broadband iPad Basic dan Celcom Broadband iPad Advance masing-masing dengan kelajuan hingga 3.6Mbss dan 7.2Mbss serta kuota 4.5Gb dan 7Gb.

Afizulazha berkata, pelan baharu itu membolehkan pelanggan menikmati penjimatan hingga RM570 berbanding harga runcit yang ditawarkan oleh pelan Celcom Broadband Advance dan penjimatan menarik lain, bergantung kepada pelan, komitmen dan model iPad yang dipilih.

Pakej Celcom Broadband Basic bagi iPad berharga RM70 sebulan manakala pakej Celcom Broadband Advance berharga RM100 sebulan.

Afizulazha menambah, Celcom telah selesai menjalankan kerja-kerja naik taraf bagi tapak 3.5G untuk menyokong kelajuan data hingga 42 Mbss, dan sedang menunggu kelulusan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi spektrum LTE (Evolusi Jangka Panjang), yang boleh dijangkakan dalam beberapa bulan akan datang.

Syarikat itu telah memperuntuk RM300 juta bagi pelaburan dalam tiga tahun akan datang untuk menukar liputan sekarang kepada LTE 4G. Apabila selesai, pelanggan-pelanggan akan menikmati kelajuan muat turun hingga 150Mbss dan kapasiti liputan Celcom lebih daripada enam kali, jelas Afizulazha. - BERNAMA

Artikel Lain