suria

Bangunan Runtuh, Enam Pekerja Kontrak Warga Asing Nyaris Maut

BESUT: Enam pekerja pembinaan nyaris maut apabila bangunan tempat mereka bekerja di Padang Astaka, Jerteh di sini tiba-tiba runtuh dan menghempap mereka dalam kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari Khamis.

Tiga daripada mereka yang terdiri daripada dua warga Indonesia dan seorang dari Bangladesh, sempat menyelamatkan diri dengan merangkak keluar daripada timbunan bangunan itu.

Manakala, tiga lagi mangsa iaitu dua warga Bangladesh dan seorang Indonesia yang terperangkap dalam runtuhan itu berjaya diselamatkan lebih dua jam kemudian dengan bantuan 15 anggota Bomba dan Penyelamat Jerteh, lapan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta 20 anggota polis.

Ketua Polis Daerah Besut, Superitendan Kamaruddin Zakaria dalam sidang media berkata, kesemua mangsa kini dirawat di Hospital Daerah Besut dan keadaan mereka masih lemah.

Katanya, keenam-enam mangsa ialah Suksan Ali, 25, Fandi, 20, dan Ari, 31, masing-masing dari Indonesia manakala mangsa warga Bangladesh dikenali sebagai Raju, 42, Munawir, 20, dan Zilo,40.

"Kejadian dipercayai berlaku setelah konkrit bumbung bangunan Astaka baru dikatakan tiba-tiba runtuh ketika beberapa pekerja sedang menambah simen dalam konkrit jeriji besi," katanya.

Kamaruddin berkata, tiga kren dan dua jentolak digunakan bagi menarik besi yang runtuh untuk mengeluarkan tiga mangsa yang terperangkap itu.

"Seorang daripada mangsa ditenggelami simen daripada paras pinggang manakala seorang lagi membabitkan kedua kakinya ditenggelami simen dalam runtuhan itu," katanya.

Kamaruddin yang bertindak sebagai ketua operasi berterima kasih kepada semua pihak kerana berjaya menyelamatkan mangsa dalam tempoh singkat kerana jika mengambil masa lama, mangsa kemungkinan akan terlekat dalam simen yang cepat keras.

Sementara itu, salah seorang pekerja yang terselamat dan sempat melarikan diri ketika runtuhan itu, Norhayati Atim, 32, dari Surabaya, Indonesia berkata, ketika kejadian beliau berada di luar bangunan yang sedang dibina itu untuk berehat.

"Kejadian berlaku terlalu pantas dan saya hanya sempat menjerit meminta mereka termasuk suami saya, Suksan segera keluar tetapi tiga daripada mereka terperangkap di bawah timbunan jeriji besi," katanya bahawa beliau dan suami baru sebulan bekerja di situ. - BERNAMA

Artikel Lain