suria

Bagaimanapun S'pura Nafi Dakwaan Campur Tangan Diplomatnya Dalam Politik M'sia

SINGAPURA: Kerajaan Singapura menolak dakwaan dalam media Malaysia dan sesetengah laporan bahawa diplomatnya campur tangan dalam politik Malaysia.

Saluran televisyen tempatan Channel NewsAsia (CNA) melaporkan seorang jurucakap Kementerian Hal Ehwal Luar sebagai berkata dakwaan sedemikian sebagai tidak berasas.

Ini berikutan dakwaan pembabitan pegawai diplomatik Singapura dalam demonstrasi Bersih 3.0 pada 28 April lalu.

Ada juga laporan yang menyebut kononnya beberapa belia dilatih di Singapura sebagai ejen mengundi dan pengiraan undi bagi pilihan raya umum Malaysia yang akan datang.

Dalam satu kenyataan Jumaat, Kementerian Hal Ehwal Luar Singapura dengan segera menjelaskan bahawa para pegawainya hadir pada perhimpunan Bersih 3.0 sebagai pemerhati bebas.

Jurucakap itu berkata, ia merupakan sebahagian daripada tugas profesional diplomatik yang biasa.

Beliau berkata, pegawai berkenaan tidak memakai pakaian berwarna kuning bagi mengelak dianggap sebagai peserta perhimpunan tersebut.

Mereka juga menghindari Dataran Merdeka, yang diisytiharkan sebagai kawasan larangan oleh pihak berkuasa Malaysia.

Kementerian itu berkata, pegawai-pegawai terbabit hanya melaksanakan tugas diplomatik yang sah bagi memerhati perkembangan politik di negara yang mereka dihantar bertugas.

Ia menjelaskan bahawa seorang pegawai diplomatik "dijangka mengemaskini perkembangan negara hos berkenaan dan untuk memahami keadaan dan sentimen di lapangan.

Kementerian itu berkata, Suruhanjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur menerima pelbagai pertanyaan daripada rakyat Singapura yang ingin mendapatkan nasihat.

Dengan pengetahuan mengenai keadaan itu telah membantu Suruhanjaya Tinggi untuk menawarkan nasihat dan bantuan konsular yang berkesan.

"Saya ulangi bahawa ini merupakan fungsi biasa bagi seorang diplomat. Sebenarnya, diplomat-diplomat asing di Kuala Lumpur juga memantau perhimpunan itu. Adalah pelik bagi sesetengah media Malaysia mengkhususkan hanya kepada Singapura," kata CNA memetik jurucakap kementerian luar sebagai berkata.

CNA berkata, kementerian itu turut menolak dakwaan bahawa Singapura melanggar Konvensyen Vienna.

"Perkara ini tidak benar. Artikel 41(1) Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik 1961 menyebut: "Tanpa prejudis kepada keistimewaan dan imuniti, ia merupakan tugas semua orang menikmati keistimewaan dan imuniti bagi menghormati undang-undang dan peraturan negara penerima. Mereka juga bertanggungjawab untuk tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara berkenaan'.

"Saya ulangi bahawa pegawai-pegawai kami tidak mencampuri hal ehwal domestik di Malaysia. Mereka memerhati. Mereka begitu berhati-hati mematuhi semua undang-undang dan peraturan domestik. Biar saya sebutkan dengan jelas kerajaan Singapura tidak berpihak dan tidak mencampuri politik domestik mana-mana negara.

"Begitu juga, kami jangka orang lain tidak akan campur tangan dalam politik domestik kami."

Pada perkembangan lain, kumpulan Bersih menjelaskan (dalam laman Facebooknya) bahawa latihan bagi ejen mengundi dan pengiraan undi yang dikatakan berlangsung di Singapura itu adalah satu acara yang "dianjurkan oleh 'Malaysians for Malaysians' sahaja.

CNA berkata, pihak berkuasa Singapura sedang meneliti dakwaan-dakwaan ini.

Jurucakap kementerian berkata rakyat asing tidak dibenarkan terbabit dalam kegiatan politik di Singapura.

Singapura juga telah menolak permohonan Bersih 3.0 bagi mengadakan perhimpunan yang sama di republik itu.

"Sekali lagi, kami tidak mempunyai kepentingan untuk mencampuri politik domestik sesiapapun. Kami menolak permohonan Bersih 3.0 untuk mengadakan perhimpunan serentak di Singapura. kenapa kami melakukannya jika kami mahu campur tangan?" kata jurucakap itu lagi. - BERNAMA

Artikel Lain