suria

Azmin Jawab Isu Perletakan Jawatan Rafizi

KOTA BARU: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali menjelaskan tidak wujud sebarang pergeseran antaranya dengan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung isu perletakan jawatan Mohd Rafizi Ramli sebagai ketua eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor.

"Ini semua tohmahan musuh untuk memecah belah PKR," ujarnya.

Beliau kemudiannya menyalahkan beberapa media massa yang didakwanya mencetuskan isu berhubung perkara tersebut.

“Rafizi melepaskan jawatannya di peringkat negeri untuk memberi tumpuan kepada kerja-kerja dalam parti.

“Walaupun ramai yang melihat perletakan jawatannya berlaku pada waktu yang tidak sesuai tetapi parti yang memutuskan agar ia dilakukan sekarang bagi membolehkannya menumpukan perhatian kepada perkara yang lebih besar iaitu pilihan raya umum," kata Azmin kepada para pemberita selepas beliau menghadiri satu majlis di sini pada Jumaat.

Azmin yang juga merupakan ahli parlimen Gombak berkata demikian ketika ditanya mengenai pergeseran di antara kemnya dengan kem Khalid Ibrahim yang diketuai oleh setiausaha politik menteri besar, Faekah Husin yang semakin ketara sekarang.

Sambil menafikan perkara itu, Azmin menjelaskan tidak wujud sebarang masalah di antaranya dengan pejabat menteri besar.

Perletakan jawatan Rafizi, katanya, tiada sebarang kaitan dengan masalah kerjasama antara pihaknya dengan menteri besar itu.

Artikel Lain