suria

Suruhanjaya Integriti Punya Mandat Lebih Luas Berbanding IPCMC

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan mempunyai mandat lebih luas kerana mempunyai bidang kuasa untuk menyelia 19 agensi penguatkuasaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Beliau berkata IPCMC yang dicadangkan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM tidak perlu ditubuhkan kerana Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan telah diwujudkan dan diperluas kepada semua agensi penguatkuasaan di negara ini.

Katanya aduan orang ramai tidak semestinya terhadap PDRM sahaja dan wujud kemungkinan timbul rasa tidak puas hati dalam kalangan mereka yang turut melibatkan 18 agensi penguatkuasa lain.

"Sebab itu, saya hendak menyatakan kita terima daripada segi semangat dan asas kehendak rakyat untuk membentuk satu badan pengaduan seperti yang dicadangkan iaitu IPCMC.

"Kita terima dan apa yang kita lakukan kita perluaskan kepada agensi-agensi lain," katanya ketika menjawab soalan Azmin Ali (PKR-Gombak) yang ingin tahu bilakah kerajaan bercadang mewujudkan IPCMC pada persidangan Dewan Rakyat,Khamis.

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan ditubuhkan pada 1 April 2011, yang merupakan badan bebas bagi mengawasi agensi penguatkuasaan yang terlibat untuk mengesan, menyiasat dan mencegah salah laku dalam kalangan pegawai penguatkuasaan.

Mohamed Nazri berkata adalah tidak mungkin kuasa pendakwaan dan penghakiman diberikan kepada suruhanjaya kerana pendakwaan di bawah bidang kuasa Jabatan Peguam Negara manakala penghakiman ialah mahkamah.

Beliau berkata apa jua suruhanjaya yang dibentuk, ia bertujuan memberi keyakinan dari segi kebebasan untuk menyiasat.

"Jadi, (jika) sekalipun IPCMC dipersetujui untuk diwujudkan sebagai satu badan penyiasatan khusus untuk polis, ia sekadar untuk menyiasat kerana jika didapati ada kesalahan membabitkan anggota polis, ia mesti didakwa di mahkamah," katanya.

Sehingga hari ini, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan menerima 120 aduan terhadap PDRM, sembilan kes telah dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kerana rasuah dan 15 kes lagi dibawa kepada Lembaga Disiplin Jabatan Polis. -BERNAMA

Artikel Lain