suria

Pengantin Baru Ditahan Bantu Siasatan Kes Pecah Rumah

NIBONG TEBAL: Seorang lelaki yang baru berkahwin dua minggu lepas ditahan Ahad lalu bagi membantu siasatan berhubung kegiatan pecah rumah di Pulau Pinang, Kedah dan Perak.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Supt Shafien Mamat berkata hasil maklumat awam dan risikan, pengantin baru berusia 26 tahun itu ditahan pada pukul 5 pagi di rumahnya di Sungai Duri di sini.

"Selepas menahannya, polis berjaya menahan rakannya pula yang berusia 23 tahun di Parit Kasa di sini pada pukul 11 malam pada hari yang sama. Mereka didapati aktif menjalankan kegiatan pecah rumah di sekitar sini, Parit Buntar, Perak dan Bandar Baharu, Kedah," katanya pada sidang akhbar di sini, Khamis.

Shafien berkata berikutan penahanan mereka, polis berjaya menyelesaikan 58 kes pecah rumah yang berlaku di tiga negeri tersebut.

"Kita juga berjaya menemui semula pelbagai barangan yang mereka curi dari rumah mangsa antaranya dua buah televisyen, tiga buah kamera digital, empat komputer riba, 35 keping surat pajak gadai dan barangan kemas yang kesemuanya bernilai lebih RM70,000.

"Jumlah itu tidak termasuk pelbagai barangan kemas yang telah mereka jual di kedai emas dan peralatan elektrik serta komputer yang dijual kepada pembeli," katanya.

Beliau berkata modus operandi dua lelaki itu ialah dengan meninjau rumah yang akan dipecah masuk terlebih dahulu pada sebelah petang, sebelum menjalankan kegiatan mereka selepas tengah malam.

"Mereka menggunakan dawai untuk membuka pintu rumah mangsa yang kebanyakannya merupakan rumah kampung dan mencuri pelbagai barangan serta menyimpannya di sebuah stor sebelum menjualnya," katanya.

Shafien berkata mereka telah menjalankan kegiatan pecah rumah sejak Januari lepas dan mengikut pengakuan pengantin baru itu, dia mahu mengumpul wang dengan mencuri untuk berkahwin.

Mereka juga didapati positif syabu dan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan curi.

Mereka kini direman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.-BERNAMA

Artikel Lain