suria

MAS Sasar Kembali Catat Untung Pada 2014

KUALA LUMPUR: Malaysian Airline System Bhd (MAS) pada Khamis menetapkan semula rancangan sasaran keuntungannya kepada 2014 daripada 2013 yang diumumkan sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Jauhari Yahya berkata fokus utama syarikat penerbangan nasional itu kini ialah untuk memastikan hasil lebih tinggi daripada kos operasi.

"Kami mensasar untuk mengurangkan kos operasi sebanyak 20 peratus dan menurunkan hasil bagi setiap tempat duduk untuk satu kilometer sebanyak 10 peratus, dalam masa tiga tahun," katanya.

Beliau berkata, beberapa inisiatif akan dilaksanakan dalam enam bulan akan datang hingga setahun dengan mengoptimumkan semua aset, menjadikan beberapa pengurangan kos dan memanfaatkan kecekapan kerja.

“Kami beri masa sehingga 2014, pada asasnya untuk kembali mencatatkan keuntungan, perubahan daripada sasaran sebelumnya menjelang 2013,” kata beliau kepada media selepas mesyuarat agung tahunan syarikat di sini Khamis.

Beliau berkata, syarikat penerbangan juga akan mengoptimumkan kapasiti kumpulan pesawatnya dengan meningkatkan kekerapan bagi beberapa laluan yang menguntungkan.

"Kami mahu merealisasikan kapasiti kami di mana terdapat peluang. Kami kini menggunakan laluan penerbangan sembilan jam dan merancang untuk menambah sehingga 11 jam laluan penerbangan," katanya dan menambah yang pesawat baru A380 akan membantu meningkatkan lagi kecekapan kumpulan pesawatnya.

"Kami mempunyai campuran jenis pesawat yang sesuai yang akan membolehkan kami membina hala tuju ke arah memanfaatkan rantau terutama bagi laluan jarak dekat," kata beliau.

Sementara itu, beliau berkata, MAS juga akan melihat ke bidang lain yang boleh dilibatkan termasuk penyenggaraan, pemilikan, penggunaan, sistem dan pemerolehan pesawat.

Mengenai program sukuk MAS, Ahmad Jauhari berkata, RM1 bilion daripada sukuk yang berjumlah RM2.5 bilion itu telah dilanggan sepenuhnya dengan baki telah dikomited sepenuhnya manakala jentera tujuan khas (SPV) masih dalam proses dan dijangka dapat dilaksanakan dalam dua bulan akan datang. - BERNAMA

Artikel Lain