suria

Jamin Selesai Masalah Petugas Media Di parlimen - Nazri

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz memberi jaminan masalah berkaitan kemudahan dan keselesaan petugas media di lobi Parlimen sementara akan diselesaikan menjelang sesi persidangan Dewan Rakyat September depan.

Katanya, kerajaan memandang serius masalah yang dibangkitkan Jawatankuasa Bertindak Sementara Petugas Media terutama membabitkan kesesakan ruang tugas yang diperuntukan kepada kumpulan berkenaan.

"Antara masalah yang dibangkitkan ialah kesesakan ruang kerja hingga sukar menulis berita, memproses gambar atau video, kekurangan tempat duduk hingga terpaksa duduk di atas lantai dan kekurangan soket dan kemudahan lain.

"Saya bersetuju dengan cadangan mereka untuk menyelesaikan masalah tersebut. Kita akan laksanakan pada sesi akan datang memandangkan sesi kali ini akan tamat pada minggu hadapan.

"Ketua pentadbir saya tiada ketika ini tetapi saya akan arahkan dia untuk ambil tindakan," katanya pada sidang media selepas menerima memorandum dari jurucakap jawatankuasa itu, Hazlan Zakaria di lobi Parlimen di sini, Khamis.

Memorandum setebal tiga muka surat itu ditandatangani oleh semua wakil pelbagai agensi media elektronik, media cetak termasuk media alternatif.

Selain itu Mohamed Nazri berkata, beliau bersetuju untuk memperuntukkan seluruh ruang lobi tingkat bawah Parlimen kepada petugas media bagi membolehkan mereka menjalankan tugas tanpa sebarang halangan khususnya ketika mahu mendapatkan reaksi atau komen Menteri dan Ahli Parlimen.

Malah katanya, lobi ditingkat dua akan dikhususkan kepada pegawai petugas kementerian.

Artikel Lain