suria

Dua Wanita Dipercayai Anggota Sindiket Gores Dan Menang Ditahan

KUALA LUMPUR: Dua wanita ditahan, dipercayai anggota sindiket terlibat dalam aktiviti gores dan menang, yang melibatkan nilai penipuan terhadap mangsa berjumlah RM390,625.

Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Wilayah Persekutuan Abu Samah Shabudin berkata dua wanita tempatan itu berumur 19 dan 23 tahun, ditahan di Terminal Bersepadu Tasik Selatan (TBS) semalam ketika leka mengedarkan kad gores dan menang kepada orang ramai.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua wanita terbabit sebelum ini pernah ditahan penguatkuasa Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

"Suspek kemudian dibawa ke pejabat untuk siasatan lanjut kerana disyaki menjalankan aktiviti gores dan menang di bawah Seksyen 20 Akta Perihal Dagangan 1972," katanya pada sidang media di sini, Khamis.

Abu Samah berkata di bawah akta ini, jika disabitkan kesalahan, denda bagi suatu pertubuhan perbadanan adalah tidak melebihi RM500,000 dan bagi individu pula tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

"Modus Operandi sindiket ini adalah dengan memerangkap orang ramai, menyatakan mereka memenangi hadiah lumayan seperti kereta dan pakej pelancongan.

"Namun, sebagai syarat untuk menebus hadiah itu, mangsa diminta membeli barangan yang tidak sepadan dengan harganya, contoh, kerusi urut dan tilam Jade bernilai lebih RM20,000," katanya.

Abu Samah berkata berdasarkan rekod, mangsa yang terpengaruh sanggup menyerahkan beribu-ribu ringgit dan menggadai barang kemas, kononnya untuk menebus hadiah lumayan yang dijanjikan.

Beliau berkata antara lokasi yang sering dijadikan sasaran sindiket itu ialah terminal TBS, jejantas Berjaya Times Square, Bukit Bintang Plaza, dan bank-bank komersial.

"Antara Januari hingga Jun tahun ini, sebanyak 62 kes dengan nilai kerugian sebanyak RM390,625 dicatatkan. Kes paling tinggi membabitkan seorang mangsa yang kerugian RM27,000, manakala paling rendah sebanyak RM1,500," katanya.

Sehubungan itu, Abu Samah meminta orang ramai agar tidak terpengaruh kerana banyak kes serupa dilaporkan di media. - BERNAMA

Artikel Lain