suria

Warga Emas Maut Selepas Kereta Bertembung Teksi & Lori

KUANTAN: Seorang warga emas maut selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah teksi dan lori di Km 25, Jalan Kuantan- Kemaman dekat sini petang Selasa.

Dalam nahas kira-kira jam 6.20 petang itu, mangsa Abu Bakar Awang, 71 dari Kampung Peramu di sini yang memandu kereta jenis Mercedes Benz mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, sebelum kejadian, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke Kemaman.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, kereta yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan masuk ke laluan bertentangan.

"Sebuah teksi yang dipandu, Mohd Razakaffi Abu Bakar, 46 yang datang dari arah bertentangan gagal mengelak kereta mangsa lalu berlaku pertembungan.

"Pada masa yang sama, kereta mangsa turut bertembung dengan sebuah lori yang dipandu Wan Hassan Wan Besar, 34, juga dari arah Kemaman menghala ke Kuantan," katanya di sini, Rabu.

Mohamed Fauzi berkata, akibat pertembungan itu, kereta yang dipandu mangsa terbakar bagaimanapun dia berjaya dibawa keluar dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat sebelum jenazah dituntut keluarganya untuk dikebumikan," katanya.

Sementara itu dalam nahas berasingan, seorang penunggang, A. Kamal, 24 dari Kampung Ganoh, Bukit Ibam, Muadzam Shah maut selepas terjatuh dari motosikal selepas bergesel dengan sebuah lori di Km 89, Jalan Kuantan- Segamat dekat Rompin, petang Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.50 petang itu, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari arah Segamat menghala ke Kuantan dan ketika sampai di lokasi kejadian, mangsa gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan dan bergesel dengan sebuah lori dari arah bertentangan.

Mangsa mengalami kecederaan parah termasuk putus tangan kanannya dan dia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital untuk bedah siasat.

"Kedua-dua kemalangan maut itu kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," kata Mohamed Fauzi. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain