suria

UPP Rampas Tembakau Seludup Bernilai RM26,040 Di Pasir Mas

TUMPAT: Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kelantan merampas tembakau bernilai RM26,040, dipercayai diseludup dari Thailand, di Kampung Lubuk Kawah, Pasir Mas dekat sini, malam Selasa.

Komander UPP Kelantan, Rusli Karim berkata pada pukul 11.20 malam, bertindak atas maklumat awam, dua anggotanya mengejar sebuah lori yang tidak berhenti semasa ditahan di sekatan jalan raya di Cabang Empat Salam, Rantau Panjang.

"Pemandu lori tersebut yang menyedari diekori, memberhentikan lorinya setibanya di Kampung Lubuk Kawah, Pasir Mas, dan dia melarikan diri dengan meninggalkan lori di situ," katanya kepada pemberita di Kompleks UPP Pengkalan Kubor di sini, Rabu.

Rusli berkata anggota UPP kemudian membawa lori muatan tembakau itu ke Kompleks UPP di Pengkalan Kubor untuk siasatan lanjut.

"Setelah pemeriksaan dijalankan, kami menjumpai 119 tongkol tembakau yang beratnya 1,302 kilogram. Tembakau dan lori berkenaan akan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM), untuk tindakan lanjut," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain