suria

Tindakan Pantas Bapa Selamatkan Keluarga Dalam Kebakaran

GEORGE TOWN: Tindakan pantas bapa yang mengejutkan lapan anggota keluarganya yang lain berjaya menyelamatkan mereka daripada terbakar dalam satu kejadian di Jalan Agar, di sini awal pagi Rabu.

Latif Mydin, 50-an berkata semua anggota keluarganya sedang nyenyak tidur ketika kebakaran itu berlaku iaitu kira-kira pukul 3 pagi.

"Kami semua tengah tidur dan saya terbau asap terus saya bangun tidur dan kejutkan isteri serta anak-anak, kami semua keluar dari rumah sehelai sepinggang, apa pun tidak sempat ambil," katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Katanya turut musnah dalam kejadian itu tiga buah motosikal milik mereka.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai Ismail Mohd Zain berkata pihaknya tiba di lokasi kebakaran empat minit selepas menerima panggilan kecemasan.

"Ketika kita sampai api tengah marak sebab rumah itu diperbuat daripada kayu dan api cepat merebak," katanya.

Ismail berkata pihaknya berjaya mengawal kebakaran itu dalam tempoh 10 minit dan memadam keseluruhan api dalam masa setengah jam.

Katanya tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran serta kerugian masih disiasat. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain