suria

Rumah Terbakar Ketika Penghuni Mengerjakan Umrah

KOTA BAHARU: Sebuah rumah papan di Kampung Penambang di sini hangus terbakar, Rabu.

Rumah itu milik Zaidah Sulaiman, 57, yang sedang menunaikan umrah di Mekah.

Semasa kejadian kira-kita 2.30 petang itu, terdapat anak saudara Zaidah di dalam rumah itu yang menolong menjaga rumah berkenaan semasa ketiadaannya.

Cucu saudaranya, Wan Nur Fatihah Wan Hanafi, 14, berkata ketika kebakaran dia sedang membuat kerja sekolah di dalam rumah neneknya sambil ditemani ibunya Rafeah Zakaria, 39.

"Saya kemudian terdengar ada orang menjerit ada api di atas rumah dan saya bergegas keluar bersama emak saya untuk melihat dari mana api datang.

"Selepas berjaya menyelamatkan diri, saya melihat api sedang marak membakar sebuah daripada bilik di atas rumah nenek," katanya.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Baharu, Yazulia Yahya berkata pihaknya tiba di tempat kejadian pada pukul 2.45 petang bersama tiga jentera dan 20 anggota, bagaimanapun ketika sampai rumah tersebut telah hangus terbakar.

"Kerugian dianggarkan bernilai kira-kira RM110,000 dan punca kejadian masih dalam siasatan," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain