suria

Polis Tahan Lima Lelaki Terbabit Kegiatan Samun

IPOH: Polis menahan lima lelaki yang dipercayai terbabit dalam kegiatan samun bersenjata di pekan Lenggong awal hari ini selepas menahan kereta yang dinaiki mereka berhampiran Plaza Tol Kuala Kangsar.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gerik, DSP Wan Jamil Wan Chik berkata mereka ditahan pada kira-kira 1.45 pagi Selasa selepas mendapat maklumat daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar.

Polis menemui dua bilah pedang samurai, satu bilah parang, sebatang rotan dan dua topeng muka di dalam kereta berkenaan, katanya ketika dihubungi Bernama, Selasa.

Jamil berkata, polis turut menemui komputer riba, sekeping pasport dan wang tunai RM834 dipercayai hasil samun, katanya dan menurutnya siasatan mendapati kereta yang digunakan oleh mereka itu adalah kereta sewa.

Katanya polis akan mendapatkan perintah mahkamah esok untuk menahan reman kelima-lima suspek berusia dalam lingkungan 20-an itu. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain