suria

Polis Ambil Keterangan Keluarga Kanak-Kanak Mati Dipercayai Didera

KUALA LUMPUR: Polis pada Rabu mengambil keterangan daripada ibu bapa serta lima anggota keluarga seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang mati dipercayai akibat didera di rumahnya di Pangsapuri Seri Selayang, Taman Prima Selayang semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Abd Rahim Abdullah berkata, ibu bapa serta anggota keluarga kanak-kanak itu dilepaskan dengan jaminan polis selepas keterangan mereka diambil.

"Kami sudah ambil keterangan ibu bapa kanak-kanak itu dan sebarang tindakan lanjut atau tangkapan hanya akan dibuat selepas semua keterangan dan laporan bedah siasat diterima," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Pra Pelancaran Kempen Anti Dadah Ke Arah Negara Sifar Dadah 2015 di Kelab Golf Peransang, Templer di sini.

Abd Rahim berkata laporan polis mengenai kanak-kanak itu diterima daripada seorang pakar perubatan pada pukul 8.05 pagi semalam.

Media massa melaporkan, seorang kanak-kanak mati pada pukul 5.26 pagi selepas dibawa ke unit kecemasan Hospital Selayang oleh ibu bapanya yang menyedari anak mereka tidak sedarkan diri ketika ibu mangsa cuba menyusukannya.

Akhbar itu turut melaporkan hasil keputusan bedah siasat oleh Hospital Kuala Lumpur mendapati punca kematian kanak-kanak itu adalah disebabkan peritonitis (usus pecah).

Abd Rahim berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan kanak-kanak itu telah didera dalam tempoh yang lama berdasarkan kesan lebam serta luka lama yang terdapat pada tubuh kanak-kanak itu. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain